PINDA (kanan) dan Natasha kongsi pengalaman menarik dalam industri e-sukan.
PINDA (kanan) dan Natasha kongsi pengalaman menarik dalam industri e-sukan.
Hazril Md Nor


Keinginan untuk menampakkan kelainan dalam industri e-sukan menjadi matlamat utama dua gadis yang juga personaliti Astro eGG.

Ketika ditemu bual di Balai Berita, Kuala Lumpur baru-baru ini, gadis kecil molek, Natasha Hashim dan Pinda Rika Dorji dari Bhutan tidak lokek menceritakan pengalaman mereka kepada penulis.

TASHBUNNY

Natasha atau lebih dikenali sebagai TashBunny memilih untuk menceburi industri didominasi lelaki itu kerana meminati permainan video sejak kecil.

“Saya pernah bermain Runescape agak lama, hampir 10 tahun. Dari situ, saya jatuh cinta dengan ‘game’ genre RPG.

“Tak lama kemudian, ada kawan memperkenalkan saya kepada League of Legends. Melihat potensi permainan ini dijadikan fokus e-sukan pada ketika itu, saya terus bermain dan membuat kajian menyeluruh,” katanya.

Menariknya, gadis ini bukan saja minat bermain ‘game’ tapi mencabar dirinya untuk mencuba sesuatu yang baru pada usia muda.

Ketika menyambung pengajian di sebuah universiti awam, dia dilantik sebagai naib presiden kelab e-sukan untuk menguruskan aktiviti dan pertandingan dianjurkan.

Dari situ, bakatnya dilihat berpotensi seterusnya dilamar menjadi hos bagi pertandingan Dota 2 dan kemudian pada skala lebih besar iaitu Kejohanan Sukan Elektronik ASEAN (AGES), tahun lalu.

“Saya bersyukur kerana dipanggil uji bakat dan berjaya buktikan kebolehan. Alhamdulillah, mereka selesa dengan kemampuan saya berbahasa Inggeris dan Melayu,” katanya.

Menurut Natasha, pengalaman menjadi hos dan gadis yang aktif bermain ‘game’ berjaya membuatkan dirinya keluar dari zon selesa.

“Dulu, saya seorang yang agak pasif dan ‘introvert’. Tapi ternyata permainan video banyak mengubah diri saya menjadi lebih terbuka dan berani menyuarakan pendapat.

“Saya gembira kerana dapat menonjolkan kemahiran berkomunikasi dan berjumpa ramai kenalan berkongsi minat yang sama. Itu sudah cukup membuatkan saya bersyukur kerana mengikut kata hati sejak dulu,” katanya.

Menurutnya, ia satu pengalaman tak dapat dilupakan kerana e-sukan adalah landasan baru untuk remaja namun pelbagai eksperimentasi boleh dilakukan untuk atasi kekangan itu.

“Sebagai permulaan, memang agak sukar untuk menarik perhatian golongan sasar.

“Bagaimanapun, saya dapati jika kita ingin berjaya perlu ada pengetahuan mendalam mengenai setiap judul permainan video dan kita perlu bermain sendiri permainan itu.

“Penggiat industri e-sukan tidaklah seramai seperti sukan sebenar. Namun, kita mampu cipta fenomena dengan menunjukkan pesona diri menerusi kerjaya dipilih,” katanya.

Selain menjadi hos untuk Astro eGG, Natasha juga seorang ‘streamer’ di saluran Twitch (tashbunny dan eggnetwork).

PINDAPANDA

Lain pula bagi Pinda atau nama komersialnya, PindaPanda yang beranggapan industri sukan elektronik tidak hanya tertumpu kepada pemain ‘game’ semata-mata.

“Selama tiga tahun bermain Dota 2, apa saya boleh katakan ia membuka banyak peluang kepada anak muda untuk menjadikannya satu karier.

“Platform ini meliputi skop pekerjaan yang luas seperti penganalisis, pengulas, pemain, jurulatih dan pengurus.

“Bagaimanapun, saya lebih gemar menampilkan sesuatu yang berbeza untuk kepuasan diri sendiri dan peminat,” katanya.

Menerusi laman Facebook yang mencecah lebih 150,000 sukaan (like), Pinda menggunakan saluran itu untuk mempamerkan pesona dirinya menerusi video disunting sendiri.

Setiap kali dimuat naik, video dengan mesej lucu dan bersahaja itu mendapat sambutan daripada peminatnya jauh di Bhutan dan di Malaysia sendiri.

“Saya pernah terfikir, jika terlalu ramai generasi millenia kini menyimpan hasrat menjadi pemain ‘game’, tidak semestinya semua berjaya ke peringkat teratas.

“Oleh itu, saya hadir dengan idea baru untuk menunjukkan Dota 2 bukan sekadar permainan kompetitif tapi juga boleh menjadi bahan jenaka dan membuatkan kita semua terhibur,” katanya.

Menurutnya, dia mendapat inspirasi daripada seorang YouTuber terkenal, Lilly Singh atau Superwoman yang juga kelakar dan penuh ekspresi.

“Lilly idola saya. Dengan menonton video miliknya di YouTube, saya banyak belajar sesuatu yang baru dan cara menghiburkan penonton,” katanya.

Bagaimanapun, selepas kejayaan diperolehnya kini, gadis yang tidak mengenal rasa malu dengan kamera ini mengakui dia banyak terhutang budi kepada ahli keluarga terutama ibunya.

“Ibu yang banyak beri semangat kepada saya untuk fokuskan minat kepada Dota 2 selain tidak henti menyokong apabila pernah dipersoalkan teman sekeliling kerana pilihan ini.

“Disebabkan itu, saya bersyukur mendapat ahli keluarga yang selalu menyokong tak kira apa saja saya lakukan. Tanpa ibu, tak mungkin saya sampai ke tahap ini,” katanya.

Selain aktif memuat naik video di laman sosial, Pinda juga cemerlang sebagai hos dan pernah terbabit dalam beberapa acara e-sukan dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 5:27 AM