PARADIGM Mall dipenuhi pengunjung.
PARADIGM Mall dipenuhi pengunjung.
ANTARA pasukan bertanding.
ANTARA pasukan bertanding.
BARISAN pemenang.
BARISAN pemenang.
Hazril Md Nor


Industri e-sukan makin berkembang dan ia menuju ke arah positif. Ramai anak muda memilih bidang ini sebagai kerjaya mereka kerana yakin dengan hala tuju dalam lapangan ini.

Baru-baru ini, Garena menganjurkan kejohanan The Legends Circuit (TLC) peringkat akhir seiring dengan acara Selangor Cyber Games yang turut diadakan di Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor.

Sesuai dengan namanya, TLC mengumpulkan skuad terhebat permainan League of Legends bagi merebut wang tunai RM40,000 dan seterusnya menempah tiket percuma ke Garena Premier League (GPL) yang akan diadakan pada 25 Ogos hingga 27 Ogos di Bangkok, Thailand.

Juara TLC, Kuala Lumpur Hunters akan bertanding di GPL kelak dan mempertaruhkan nasib mereka berdepan enam lagi wakil dari Asia Tenggara.

Lebih menarik, GPL adalah laluan utama untuk melayakkan diri ke kejohanan dunia League of Legends World Championships.

Seiring kejayaan itu, Pesuruhjaya e-sukan Garena Malaysia, Dickson Lee berkata, League of Legends akan terus luas pengaruhnya seiring pertumbuhan e-sukan di negara ini.

“Kejohanan seumpama ini diharap dapat meningkatkan lagi industri League of Legends kerana e-sukan makin mendapat perhatian dari kampus dan komuniti permainan itu sendiri,” katanya.

Selain acara TLC, terdapat juga pertandingan cosplay yang membabitkan 10 penyertaan dan dimenangi oleh Blood Moon Kalista yang membawa pulang wang tunai RM3,000. Pertandingan itu diadili oleh cosplayer terkenal, Aza Miyuko dari Korea Selatan.

Permainan Siber Selangor (SCG) mempertandingkan e-sukan seperti Dota 2, FIFA Online 3, Tekken 7 dan League of Legends dengan hadiah wang tunai terkumpul RM180,000 menjadi rebutan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 6:21 AM