Pengarah Urusan PNM Ideas Sdn Bhd, Muhamad Arif Omar, 32. FOTO JomGaming
Pengarah Urusan PNM Ideas Sdn Bhd, Muhamad Arif Omar, 32. FOTO JomGaming
FOTO PNM Ideas
FOTO PNM Ideas
Hazril Md Nor


“Saya mahu lebih ramai anak muda di Sabah mendapat peluang untuk bertanding dalam acara e-sukan (game) sehingga layak bergelar profesional.”

Kenyataan itu disuarakan Pengarah Urusan PNM Ideas Sdn Bhd, Muhamad Arif Omar, 32, yang mana pihaknya menganjurkan kejohanan Borneo e-Arena di Centre Point, Kota Kinabalu, Sabah dengan hadiah wang tunai terkumpul RM150,000.

Acara itu bermula hari ini hingga esok mempertandingkan lima permainan video, Dota 2, Mobile Legends, Counter Strike: Global Offensive, Tekken 7 dan FIFA 17.

Ia turut membabitkan penyertaan dari negara luar seperti Indonesia, Sudan, Zimbabwe, Brunei dan Singapura.

Arif berkata, pihaknya berminat untuk menganjurkan acara e-sukan di sini dalam usaha mencari bakat baru.

“Di sini komuniti permainan video (game) sangat besar namun mereka (pemain) kurang diberi peluang untuk tonjolkan bakat kerana tidak banyak kejohanan berprestij dianjurkan.

“Oleh itu, kami berharap kejohanan Borneo E-Arena ini dapat membuka mata ramai pihak dan memberikan lebih banyak peluang kepada anak muda di Sabah dan Borneo khususnya menjadi lebih berdaya saing dari sudut kompetitif,” katanya.

Seiring dengan pertumbuhan industri e-sukan di negara ini, 5 permainan video dipilih mengikut populariti dan permintaan. Namun, kata Arif, perhatian khusus diberikan kepada Mobile Legends.

“Buat julung kalinya, hadiah kemenangan bagi ‘game’ ini adalah RM35,000 melebihi Dota 2 (RM12,500).

“Pemilihan ini dibuat mengikut tinjauan pasaran e-sukan di Sabah yang mana rata-rata pemain memilih untuk bermain Mobile Legends berbanding Dota 2.

“Pada masa yang sama kami berkolaborasi bersama pembangun Mobile Legends, Moonton bagi menyediakan hadiah berupa ‘item’ dalam permainan selain wang tunai,” katanya.

Kata Arif, kejohanan berprestij ini akan menjadi acara tahunan dan usaha akan dipergiatkan lagi pada masa depan.

“Kami merancang untuk menjadikan Borneo e-Arena sebagai satu acara yang turut memfokuskan pada peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang pembangunan ‘game’ di Malaysia.

“Dengan itu, lebih ramai generasi muda akan buka mata mengenai peluang kerjaya dalam bidang ini dan membuat pilihan karier yang betul sesuai dengan minat mereka,” katanya.

Acara ini mendapat sokongan penuh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak turut hadir pada acara berkenaan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 5:19 PM