League of Legends (LOL) dan Defence of the Ancients 2 (Dota 2) adalah dua permainan maya popular masa kini. HAZRIL MDNOR ingin anda tahu apa perbezaan ketara antara dua permainan ini walaupun ia berada dalam liga yang sama.

Diakui, genre Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) terus meningkat popularitinya dalam arena sukan elektronik di luar negara mahupun tempatan. Rahsia kejayaannya tentunya terletak pada corak permainan dan pelbagai fungsi interaktif yang ditawarkan. Contohnya, Dota 2 dan League of Legends (LOL) mempunyai sistem menarik seperti persaingan mendapatkan tempat teratas dalam perlawanan antara pemain di seluruh dunia.

Selain itu, sistem kepelbagaian karakter dengan set kuasa berbeza berjaya mencetuskan kelainan dan menarik golongan sasar untuk terus komited bermain ‘game’ ini sehinggakan ada yang berniat merangkul gelaran pemain profesional tempatan.

Difahamkan, LOL berada dalam kategori yang sama seperti Dota 2, tapi jika anda pernah bermain kedua-dua ‘game’ berkenaan, sebenarnya ada perbezaan yang pasti. Apa sebenarnya perbezaan antara kedua-dua ‘game’ ini? Gen Y kupas dengan lebih lanjut.

Ganjaran berbeza

Tidak dinafikan, kebebasan pemain memilih karakter dari ratusan hero adalah ciri utama yang membezakan genre MOBA dengan yang lain. Sama juga seperti LOL dan Dota 2, kedua-duanya mengekalkan ciri itu tapi setiap satu darinya membuat penambahbaikan dalam aspek lain untuk membezakan identiti antara satu sama lain.

Pertama, kedua-dua ‘game’ menawarkan ganjaran kepada pemain apabila mereka berjaya membunuh karakter pihak lawan. Bezanya, LOL tidak menghukum pemain dengan melenyapkan ganjaran emas apabila karakter pemain dijatuhkan pihak lawan seperti yang dikenakan dalam Dota 2. Justeru, pemain berupaya menjadi lebih agresif menggunakan kelebihan karakter mereka di tahap maksimum tanpa perlu risau kehilangan ganjaran.

Namun, ganjaran yang diperoleh dalam Dota 2 terbukti lebih banyak apabila pemain berjaya membunuh hero pihak lawan. Tapi, pemain perlu berhati-hati mengatur langkah kerana tersilap membuat percaturan boleh menyebabkan kehilangan ganjaran yang dikumpul sepanjang permainan.

Lebih kompleks

Keduanya, LOL lebih kompleks terutama membabitkan penggunaan set kuasa oleh setiap karakter. Dalam LOL, pemain bebas mencederakan pihak lawan berulang kali berpandukan sistem ‘short cooldown’. Selain itu, sistem kuasa dalam LOL banyak mengandungi ‘skill shot’ di mana pemain perlu menjangka kedudukan pihak lawan sebelum menggunakan kuasa.

Selain itu, karakter yang menggunakan kuasa magis berupaya meningkatkan kuasa mereka melalui barang yang mengandungi ciri ‘ability power’. Dalam Dota 2, karakter yang bergantung pada penggunaan kuasa tidak boleh meningkatkan kekuatan mereka pada tahap tertinggi.

Walaupun begitu, Dota 2 adalah ‘game’ yang mengutamakan kemahiran pemain mengatur setiap langkah. Setiap karakter berupaya berganding bahu menggunakan skil mereka untuk menjatuhkan sekumpulan pihak lawan, tapi pemain perlu bijak menyimpan ‘mana’ yang cukup untuk melaksanakan langkah itu.

Ketiga, setiap karakter dalam LOL dibekalkan skil yang dinamakan kuasa ‘summoner’. Fungsinya, ia memberikan kelebihan pada pemain untuk mengelirukan pihak lawan malah menukar keadaan medan perang. Contohnya, kuasa ‘flash’ membolehkan pemain menukar posisi dalam sekelip mata yang khususnya digunakan untuk melarikan diri atau memulakan pertarungan.

Mod permainan

Kedua-dua ‘game’ ini menawarkan pelbagai jenis permainan yang menarik. Tapi LOL tampil berbeza dengan sentuhannya yang tersendiri. Konsep Ultra Rapid Fire (URF) misalnya melambangkan mod Dota versi pertama yang tiada dalam Dota 2.

Ciri istimewa itu memberikan akses meluas kepada pemain untuk menggunakan kuasa tanpa perlu risau akan kekurangan ‘mana’. Malah, skil karakter boleh digunakan berulang kali dalam masa singkat. Ia turut ditambah baik dari segi keseronokan dan kepuasan pemain. Contohnya URF membolehkan setiap karakter pemain mengalami transformasi dari segi penggunaan kuasa, kekuatan dan daya ketahanan.

ARAM adalah salah satu dari mod permainan yang popular dalam kalangan pemain League of Legends. Dalam perlawanan lima lawan lima, pemain tidak diberikan kebebasan untuk sembuh ketika berada di ‘base’ dan mereka turut dihalang membeli barang selepas melangkah keluar dari zon utama.

Selain itu, kelima-lima pemain harus berlawan dengan lima lagi pihak lawan melalui satu lorong yang dibina khusus untuk mod berkenaan, berbeza dengan mod normal yang membekalkan tiga lorong utama. Pemain kemudian perlu bijak memilih kedudukan dan menggunakan kuasa di saat yang sesuai.

Sistem mata wang

Perbezaan ketara antara dua permainan ini sudah tentunya dari segi pemilihan karakter. Sebaik saja pemain mendaftar sebagai ahli dalam Dota 2, pemain dibekalkan lebih 110 karakter yang percuma dan bebas digunakan sampai bila-bila.

Bezanya, LOL mempunyai sistem mata wang Influence Points (IP) di mana pemain memperolehnya apabila menghabiskan perlawanan. IP digunakan untuk membeli hero dan setiap hero mempunyai nilai yang berbeza bergantung pada kemahiran untuk memainkannya.

Kesimpulannya, Dota 2 menawarkan akses kepada semua karakter pada pemain baru, berbeza dengan LOL yang memerlukan pemain berusaha mengumpul IP untuk mendapatkan karakter idaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 10:11 AM