FABREGAS sudah lupa kekalahan lalu.
FABREGAS sudah lupa kekalahan lalu.
AFP

Swansea: Bintang Chelsea Cesc Fabregas percaya pendahulu Liga Perdana Inggeris itu sudah melupakan aksi buruk ketika musim perayaan lalu dan mahu menjadikan Swansea sebagai bukti kebangkitan malam ini.

Tottenham Hotspur menjadi antara pasukan yang berjaya mengejutkan Chelsea apabila menang 5-3 di White Hart Lane pada hari tahun baru dan kekalahan itu hadir selepas skuad kendalian Jose Mourinho itu tercicir mata gara-gara seri 1-1 dengan Southampton.

Begitupun, Chelsea kembali merakam kemenangan apabila mengatasi pasukan divisyen dua, Watford pada pusingan ketiga Piala FA selain menang 2-0 ke atas Newcastle dalam aksi liga minggu lalu.

“Tidak ada apa-apa masalah dalam kem Chelsea, kami memang mahu menang semua perlawanan,” kata pemain antarabangsa Sepanyol, Fabregas menjelang kunjungan ke selatan Wales.

“Mungkin ia sukar dilaksanakan sepanjang musim ini kerana terdapat banyak perlawanan yang perlu kami harungi.

“Kalah kepada Tottenham sesuatu yang sangat mengejutkan, tetapi jika anda melihat kembali rakaman perlawanan, anda pasti sedar mereka menjaringkan gol menerusi setiap peluang yang mereka ada.

“Perlawanan itu tidak memihak kepada kami, tetapi saya harus mengucapkan tahniah kepada Tottenham kerana mereka bermain cemerlang. Namun kami sudah melupakan apa yang berlaku dan akan memandang ke depan.”

Penjaga gol Chelsea, Thibault Courtois mungkin terlepas perlawanan ketiga berturut-turut selepas mengalami kecederaan ibu jari ketika menentang Spurs.

Courtois sudah kembali menjalani latihan bersama Chelsea, tetapi kecederaan yang dialaminya belum sembuh seratus peratus.

Tidak ada sebab mengapa Mourinho mahu memperjudikan penjaga gol itu kerana penjaga gol veteran. Petr Cech berjaya mengelak gawangnya dibolosi sepanjang dua perlawanan menentang Watford dan Newcastle sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:07 AM