VAN Dijk (kanan) yakin Liverpool tidak terjejas dengan kekalahan di tangan Barcelona. — FOTO EPA
VAN Dijk (kanan) yakin Liverpool tidak terjejas dengan kekalahan di tangan Barcelona. — FOTO EPA
AFP

LIVERPOOL perlu bangkit selepas terbenam dek kehebatan Lionel Messi di Barcelona jika mereka mahu terus memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris menyaingi Manchester City menjelang dua minggu terakhir musim.

Anak buah Juergen Klopp berdepan tugas rumit kunjungan ke Newcastle malam esok, dua hari sebelum City kendalian Pep Guardiola melayan Leicester dengan hanya satu mata memisahkan mereka.

Di bawah mereka, Tottenham, Chelsea, Arsenal dan Manchester United kekal dalam pemburuan untuk meraih baki dua slot empat teratas di sebalik prestasi tidak menentu.

Ia satu kelebihan buat City dalam apa yang dilihat perebutan paling sengit dalam sejarah Liga Perdana ketika kedua-dua pasukan tidak keciciran mata dalam tempoh dua bulan terakhir.

Juara bertahan City, selepas 12 kemenangan berturut-turut, mengumpul 92 mata, satu mata di depan Liverpool, yang hanya tewas sekali dalam liga sepanjang musim.

Kekalahan buat Liverpool di Newcastle, diurus bekas bos Reds, Rafael Benitez, akan memberi peluang City memastikan kejuaraan awal pagi Selasa ini.

PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero (dua kiri) meledak gol tunggal ketika menang 1-0 ke atas Burnley, hujung minggu lalu. — FOTO EPA
PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero (dua kiri) meledak gol tunggal ketika menang 1-0 ke atas Burnley, hujung minggu lalu. — FOTO EPA

Namun kemenangan akan meletakkan Liverpool kembali ke puncak sekurang-kurangnya buat 48 jam dan menekan pasukan Guardiola, berdepan Leicester yang memburu tempat ke pertandingan Eropah dan masih segar daripada kejayaan membenam Arsenal 3-0 hujung minggu lalu.

“Saya fikir secara mental kami tidak terjejas,” kata pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk selepas persembahan hebat pasukannya dihukum dengan dua gol Messi untuk memastikan kemenangan 3-0 pada separuh akhir pertama buat juara Sepanyol itu.

“Kami takkan terjejas. Ia perlawanan sukar tapi kami ada perlawanan besar hujung minggu ini dan kami masih dalam persaingan. Kami mahukan persembahan sama tanpa melepaskan sebarang gol.”

Perebutan dua baki slot empat teratas Liga Perdana, yang memberikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan, masih sukar untuk ditentukan.

Semua kelab pencabar tidak menang hujung minggu lalu, bermakna Tottenham masih mendahului dengan 70 mata, dua di depan Chelsea.

Arsenal, yang kalah tiga aksi liga terakhir, mengumpul 66 mata, dengan Manchester United, masih berada dalam persaingan di sebalik persembahan buruk dengan 65 mata.

Tangga kelima dan keenam menawarkan tiket ke Liga Europa, namun pasukan tangga ketujuh juga boleh layak jika City menewaskan Watford pada final Piala FA bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 11:48 AM