CECH (tengah) gesa rakan lupakan kekalahan di tangan Everton.
CECH (tengah) gesa rakan lupakan kekalahan di tangan Everton.

London: Semua persoalan mengenai keberanian, kekuatan benteng pertahanan serta ketahanan skuad Arsenal mula kedengaran menjelang kunjungan ke Manchester City untuk berdepan skuad kendalian Pep Guardiola malam esok.

Catatan 14 perlawanan tanpa kalah Arsenal membuatkan imej pasukan itu melonjak sebelum perayaan Krismas tetapi semuanya lebur apabila anak buah Arsene Wenger tewas 1-2 di tangan Everton, awal pagi Rabu lalu.

Seperti biasa, Wenger dilihat membuat pelbagai tuduhan mengenai corak permainan keras yang diamalkan lawan terutama apabila anak buahnya ‘beku’ di tengah sorakan penyokong tuan rumah di Goodison Park tetapi Petr Cech tetap tenang dan menganggap Arsenal bukan pasukan yang boleh dipandang remeh.

“Anda perlu bangkit,” kata penjaga gol Arsenal itu.

“Tempoh sibuk akan tiba dan kami akan mengharungi perlawanan besar. Justeru, kami tidak ada masa untuk bersedih atas kekalahan itu.

“Ada kalanya, memang bagus apabila anda mengharungi perlawanan besar selepas satu aksi yang hebat. Anda pasti mempunyai dorongan untuk menang. Ia mungkin tiba pada saat tepat buat kami.”

Kekecewaan Arsenal gara-gara tandukan pertahanan Everton Ashley Williams pada minit ke-86, adalah kekalahan pertama dalam saingan liga sejak tumbang 3-4 di tangan Liverpool pada perlawanan pembukaan musim.

Disebabkan keputusan itu, mereka kini mengekori pendahulu Chelsea dengan enam mata sambil semua pesaing terdekat - Liverpool, City, Tottenham Hotspur dan Manchester United - menang perlawanan pertengahan minggu.

Satu-satunya perkara yang membuatkan Arsenal sedikit lega ialah City juga sedang bergelut dengan pelbagai masalah.

Skuad kendalian Guardiola itu tidak menang empat perlawanan di tempat sendiri ketika menentang Watford, Chelsea dan Leicester City.

Tanpa kehadiran Sergio Aguero yang digantung, Nolito terpaksa diturunkan ketika menentang Watford dan penyerang Sepanyol itu dijangka kembali disenaraikan untuk menentang Arsenal.

“Ia pasti perlawanan yang agak sukar tetapi saya rasa Arsenal akan datang dengan hasrat mencuri tiga mata kerana itulah falsafah bola sepak mereka,” kata Nolito.

“Ia juga menjadi matlamat kami. Justeru, kita perlu lihat siapa yang berhak untuk mendapat mata.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:16 AM