Pertarungan dua penjuru antara TMJ (kiri) dan Annuar. FOTO HM
Pertarungan dua penjuru antara TMJ (kiri) dan Annuar. FOTO HM
Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Pemilik Kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam pemilihan di Kongres ke-54 pada 25 Mac ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin selepas tempoh pengesahan pencalonan berakhir jam 5 petang tadi.

Kesediaan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu bakal menyaksikan pertarungan dua penjuru bagi merebut kerusi nombor satu FAM selepas Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa awal lagi sudah mengesahkan pencalonan.

Bagaimanapun dua lagi calon Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat menyatakan hasrat untuk tidak bertanding bagi pemilihan barisan Exco baru 2017-2021.

"Untuk jawatan presiden kami menerima pencalonan Tunku Ismail dan Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun semua senarai calon akhir ini akan disahkan dalam mesyuarat Exco 20 Februari ini," katanya.

Bagi jawatan Timbalan Presiden FAM, seramai empat calon mengesahkan untuk bertanding, Naib Presiden (9), Exco lelaki (17) dan Exco wanita (7).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 5:54 PM