TMJ calon hangat jawatan Presiden FAM.
TMJ calon hangat jawatan Presiden FAM.
Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Yusoff Mahadi percaya Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berdepan masalah untuk memenangi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada pemilihan Kongres ke-53 bulan depan meskipun dicabar Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Yusoff, ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila mengetahui Tunku Ismail, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mengesahkan untuk bertanding merebut kerusi panas itu semalam.

“Selepas ahli gabungan FAM bertemu dengan Tunku Ismail bersama ayahandanya Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar sebelum ini, kami yakin beliau akan menerima pencalonan ini.

“Sebelum ini, Tunku Ismail hanya mahu mendapatkan perkenan ayahandanya dan selepas ayahandanya meminta beliau menukar ‘air muka’ bola sepak tanah air, saya melihat semangat buat Tunku Ismail menerima pencalonan ini.

“Jadi, kami berterima kasih kepada Tunku Ismail kerana bersedia menyahut cabaran ini dan saya percaya walaupun beliau akan mendapat tentangan Tan Sri Annuar Musa, peluangnya tetap cerah berdasarkan sokongan yang diterima,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Selepas tempoh akhir pengesahan pencalonan semalam, hanya Tunku Ismail dan Annuar menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan presiden bagi penggal 2017-2021 selepas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat menarik diri.

Tunku Ismail pernah bertanding jawatan tertinggi itu pada pemilihan 2014 bagaimanapun beliau tewas dalam pusingan kedua apabila hanya menerima 12 undi manakala Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah 27 undi.

Pemilihan kedua terpaksa diadakan selepas pemilihan pertama tidak mencapai majoriti dua pertiga apabila Tengku Abdullah mendapat 24 undi dan Tunku Ismail 15 undi.

Annuar ketika menjadi Timbalan Presiden FAM pernah digantung selama 30 bulan pada April 2013 kerana melanggar Artikel 88 apabila didapati bersalah mengkritik prestasi skuad Harimau Malaysia.

Beliau juga kini berdepan kes tajaan MARA dengan Kelantan yang masih dalam siasatan.

Yusoff bagaimanapun berharap ahli gabungan yang menyuarakan sokongan sebelum ini tidak hanya berpura-pura dan menterjemahkan sokongan dalam bentuk undian pada hari pemilihan itu nanti.

“Empat belas ahli gabungan datang bertemu dengan Tunku Ismail, walaupun ada di antara mereka tidak mengundi, namun mereka adalah wakil kepada ahli gabungan. Jika mereka tidak mengundi Tunku Ismail, nyata mereka hanya berpura-pura,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 12:30 PM