BERNAMA

Kuala Lumpur: Pertandingan satu lawan satu antara Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa bagi merebut kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin menjadi kenyataan, Sabtu ini.

Persaingan antara Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu sememangnya menjadi fokus utama Kongres FAM Ke-53 untuk memilih jawatankuasa baru bagi penggal 2017-2021.

Sehingga semalam, tiada calon menarik diri termasuk untuk jawatan lain bagi mengisi 17 kekosongan dalam badan induk bola sepak negara.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) mengesahkan setakat ini tiada calon yang menyatakan hasrat menarik diri daripada pertandingan.

“Tidak ada calon yang menarik diri,” tegasnya.

Dari segi peraturan FAM, mana-mana calon masih boleh menarik diri sebelum kongres bermula pada 25 Mac ini.

Kerusi presiden dipertandingkan selepas penjawat sebelum ini, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah membuat keputusan meletak jawatan berikutan prestasi hambar skuad Harimau Malaysia.

Bagi peminat bola sepak tanah air, pemilihan kali ini bakal menentukan hala tuju baru bola sepak negara.

Pemilihan pada kongres itu adalah untuk mengisi 17 kerusi iaitu presiden (satu jawatan), timbalan presiden (dua jawatan), naib presiden (empat jawatan) dan exco (lapan jawatan lelaki dan dua jawatan wanita).

Jawatan timbalan presiden menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi mengisi dua kekosongan manakala jawatan naib presiden pula menyaksikan sembilan calon bertanding merebut empat tempat.

Bagi jawatan anggota Exco FAM pula, 17 calon berentap bagi mengisi 10 tempat manakala tujuh calon Exco wanita akan merebut untuk mengisi dua kekosongan.

Seramai 39 perwakilan dan anggota gabungan FAM layak mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 8:40 AM