SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Aziman Rosdi


PERSAINGAN sengit tiga penjuru bakal disaksikan bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membuat keputusan mengejut mencalonkan Tan Sri Annuar Musa pada saat akhir sebelum tempoh pencalonan ditutup hari ini.   

Pencalonan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Timbalan Presiden FAM itu dibuat sehari selepas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mencalonkan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi untuk berdepan calon pilihan Exco FAM iaitu Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.   

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, Annuar hanya menyatakan persetujuan hari ini dan beliau percaya persaingan tiga penjuru itu membuktikan proses demokrasi dalam FAM.   

"Tan Sri Annuar Musa hanya bersetuju untuk bertanding pagi tadi, tapi sebenarnya kami sudah berbincang sudah lama, namun beliau sibuk dengan PRU (Pilihan Raya Umum) baru-baru ini. Jadi, bila semua sudah selesai, baru beliau buat keputusan.   

"Bagi saya ini satu pertandingan yang adil dan secara demokrasi. Memang sebelum ini kami ada mencadangkan untuk mencalonkan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra, namun atas kekangan tertentu, kami terpaksa membatalkan hasrat itu," kata Nokman.   

Ini bukan kali pertama Annuar dicalonkan bertanding merebut kerusi nombor satu itu selepas beliau turut dicalonkan pada Kongres Pemilihan FAM tahun lalu, namun menarik diri pada saat akhir bagi memberi laluan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.   

Bagaimanapun, Nokman berharap Annuar yang dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Ketereh pada PRU, Rabu lalu bakal menetapkan pendirian untuk terus bertanding kali ini dan mereka akan berusaha untuk menagih sokongan 19 lagi ahli gabungan pada pemilihan di Kongres Tahunan pada 14 Julai depan.   

"Sekarang ada pertandingan tiga penjuru, tapi apa saja boleh berlaku. Kita harap Tan Sri Sri Annuar akan bertanding, kita ada dua bulan untuk buat kerja. Kita akan lihat situasi bola sepak tanah air dalam tempoh dua bulan ini.   

"Kita percaya beliau calon yang bagus atas pengalamannya bersama KAFA serta menubuhkan akademi bola sepak sendiri," katanya.   

Sementara itu, Pemangku FAM Datuk Yusoff Mahadi mengesahkan badan induk itu menerima tiga pencalonan bagi jawatan presiden selepas tarikh tutup hari ini.   

"Ketiga-tiga calon ini perlu mengesahkan pencalonan masing-masing sebelum atau pada 14 Jun 2018, iaitu sebulan sebelum Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai depan.   

"Jika terdapat lebih seorang calon sah bertanding maka undian pemilihan Presiden FAM yang baharu akan dijalankan, dan jika hanya seorang calon, maka secara tidak rasminya beliau menang tanpa bertanding. Pengumuman rasmi Presiden FAM baharu bagi penggal 2018-2021 hanya akan disahkan pada kongres itu nanti," katanya.   

Jawatan Presiden FAM dikosongkan selepas Exco FAM pada 2 April lalu menerima peletakan jawatan Tunku Ismail selepas setahun menerajui FAM.  

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 7:18 PM