Amir Abd Hamid


Reyhanli (Turki): Terdapat lima sekolah termasuk satu sekolah menengah untuk pelarian Syria beroperasi dengan sumbangan rakyat Malaysia dikendalikan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care).

Sekolah berkenaan membabitkan 8,000 pelajar yang sudah tamat dan masih belajar sejak sekolah pertama dibuka 2014.

Mohd Khatib, 42, usahawan Syria yang diberi tanggungjawab mengendalikan sekolah itu berkata, bantuan 25,000 peralatan belajar termasuk buku dan alat tulis sudah diagih.

"Selain pembelajaran, lebih 30,000 kanak-kanak sudah diberikan bantuan pakaian musim sejuk sejak 2012 Muslim Care berada di sini.

"Pada tahun ini sahaja sebanyak 6,000 pakaian sejuk sudah diserahkan.

"Rakyat Malaysia diminta tidak terlalu bimbang mengenai sumbangan bantuan.

"Biarpun lewat namun kami sukarelawan Muslim Care warga Syria berusaha supaya bantuan sampai seperti sebelum ini," katanya memberitahu wartawan ketika lawatan ke sekolah pelarian Syria, di sini, hari ini.

Katanya, empat bas sekolah untuk pelarian Syria sudah dimiliki Muslim Care hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Perbualan dengan bantuan terjemahan Pengarah Pendidikan dan Misi Kemanusiaan Syria Muslim Care, Ustaz Nazmi Karim.

Ketika ini, terdapat 200 petugas Muslim Care warga Syria termasuk Mohd Khatib di Turki dan Syria.

Sebelum ini, Mohd Khatib memiliki kilang makanan di negara asalnya sebelum dibom 2012 dan tahun sama menyertai Muslim Care.

Sementara itu, sehingga 12 tengah malam waktu tempatan hari ini (5 pagi waktu Malaysia), Ketua Misi Johari Ismail berkata, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Ankara sudah berhubung dengan pihak berkuasa Turki dalam usaha melepaskan barang bantuan.

"Pihak kedutaan Malaysia sedang berurusan dengan pihak berkuasa tempatan untuk kelulusan barang bantuan itu," katanya.

PELAJAR yang juga pelarian Syria menaiki bas sekolah Muslim Care di Reyhanli. Gambar dan video Shahrul Redzuan Zulkifli

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 11:34 PM
PELAJAR yang juga pelarian Syria menaiki bas sekolah Muslim Care di Reyhanli. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
PELAJAR yang juga pelarian Syria menaiki bas sekolah Muslim Care di Reyhanli. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli