Amir Abd Hamid


Reyhanli (Turki): Umpama golongan Ansar membantu muhajirin.

Itu sikap ditonjolkan usahawan Turki, Muhammad Mustafa, 34, yang sanggup memberi peluang perniagaan termasuk tapak kilang roti dan stor untuk pelarian rakyat Syria, Muhyidin, 42, yang tidak pernah dikenalinya.

"Kami macam muhajirin dan ansar. Sebagai tuan rumah, kami kena beri layanan sebaiknya kepada Muhyidin yang berhijrah ke negara saya akibat perang di Syria," kata Muhamad.

Muhammad berkata, jalinan ukhwah semakin rapat antara rakyat dua negara berjiran itu bukan saja akibat konflik bersenjata di Syria malah lebih intim selepas ada usaha menjatuhkan kuasa pemimpin kesayangan Turki Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Katanya, nama kilang roti yang mempunyai 36 pekerja warga Turki serta pelarian Syria dan beroperasi dari 8 malam hingga 8 pagi juga sempena nama presiden Turki itu.

"Ibu saya (Rabiatul Adawiyah, 63) berpesan dengan sungguh-sungguh supaya saya membantu Muhyidin dengan usaha paling terbaik," katanya.

Sementara itu, Muhyidin berkata, dia berasal keluarga kaya di Syria namun terpaksa datang ke Turki akibat konflik di negara asal.

"Ayah pesan cari tapak niaga untuk usahakan kilang roti terutama kurangnya bekalan roti Syria bagi memenuhi kebanjiran pelarian Syria di Turki.

“Ramai pelarian Syria memerlukan makanan Syria... roti Turki beza dengan roti Syria,” katanya.

PEKERJA membuat roti di Kilang Roti Tayyib di Reyhanli, Turki. Kilang roti itu mempunyai 36 pekerja dan beroperasi dari 8 malam hingga 8 pagi. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
PEKERJA membuat roti di Kilang Roti Tayyib di Reyhanli, Turki. Kilang roti itu mempunyai 36 pekerja dan beroperasi dari 8 malam hingga 8 pagi. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli

Pada Ogos 2012, Muhyidin ternampak bangunan sesuai untuk dijadikan kilang ketika meronda di Reyhanli dan menyatakan hasrat untuk menyewa bangunan itu daripada tuan tanah iaitu ibu Muhammad.

“Alangkah terkejutnya apabila diberikan kebenaran dengan percuma," katanya.

Muhyidin berkata, kewujudan kilang itu mengingatkannya peristiwa kaum Ansar di Madinah membantu kedatangan Muhajirin Makkah ketika episod penghijrahan Rasulullah SAW.

"Muhammad melayan saya seperti apa disarankan Nabi dan ia menyebabkan saya berazam meningkatkan ekonomi mengikut syariat Islam.

"Saya keluarkan modal AS$300,000 (RM1.3 juta) dan beri kepercayaan untuk Muhammad uruskan kilang bersama saya.

"Kilang beroperasi 18 Mac 2013 dan hasil jualan pasti ada zakat untuk Syria selain ada bahagian juga untuk pemberian roti percuma kepada pelarian daif," katanya.

Muhyidin dan Muhammad ditemui ketika lawatan ke Kilang Roti Tayyib sempena misi bantuan musim sejuk di sempadan Turki-Syria anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care).

PROSES membuat roti di Kilang Roti Tayyib di Reyhanli, Turki. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
PROSES membuat roti di Kilang Roti Tayyib di Reyhanli, Turki. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli

Dalam lawatan itu Muslim Care membeli borong puluhan ribu bungkus roti bernilai

AS$5,200 (RM23,000) untuk diagihkan kepada lima sekolah pelarian kendalian Muslim Care manakala pihak kilang roti menambah lagi dengan percuma bagi bekalan selama 40 hari.

Bantuan Syria anjuran Muslim Care masih berterusan dan orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank (5644-9041-3882) atau Bank Islam (140-140101-4740) atau ke akaun Bank Muamalat (14-0100-0765-4717).

Maklumkan sumbangan menerusi mesej pesanan ringkas atau WhatsApp kepada Johari Ismail di talian 016 9978323 atau Zakaria Abd Latiff (012 6935938).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 10:39 PM
MUHYIDIN (kiri) dan Muhammad Mustafa menunjukkan roti yang sudah siap. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
MUHYIDIN (kiri) dan Muhammad Mustafa menunjukkan roti yang sudah siap. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli