KEADAAN bangunan musnah akibat serangan mortar. FOTO Ihsan Muslim Care
KEADAAN bangunan musnah akibat serangan mortar. FOTO Ihsan Muslim Care
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Misi bantuan kemanusiaan untuk pelarian Syria anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) bersama mahasiswa Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Reyhanli, Turki terpaksa dipendekkan berikutan serangan mortar di kawasan itu.

Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, ketika kejadian letupan itu, pihaknya sedang mengagihkan bantuan di khemah pelarian Syria berhampiran Bukit Harem.

Beliau berkata, sejak dua minggu lalu, beberapa kawasan di wilayah bersempadan Syria itu diserang bom mortar dipercayai dilakukan pihak Kurdis.

“Dalam masa dua minggu, lebih 35 letupan mortar berlaku di Reyhanli yang setakat ini membabitkan dua kematian rakyat Turki.

“Pada pagi ini (semalam), kami tidak menyangka berlaku lagi letupan mortar. Hampir 20 letupan kedengaran termasuk beberapa roket yang dilancarkan dalam tempoh hampir dua jam sejak 10 pagi (waktu tempatan) dan satu daripadanya 1 kilometer dari tempat penginapan kami.

“Pihak kami mengambil keputusan memendekkan misi dan akan keluar hari ini (semalam) juga sebab keadaan amat berbahaya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Pelarian Syria yang sempat dibantu kumpulan misi kemanusiaan Muslim Care dan mahasiswa USIM  sebelum kumpulan misi terpaksa keluar dari kawasan berkenaan berikutan berlaku serangan mortar di Reyhanli. FOTO Amir Abd Hamid
Pelarian Syria yang sempat dibantu kumpulan misi kemanusiaan Muslim Care dan mahasiswa USIM sebelum kumpulan misi terpaksa keluar dari kawasan berkenaan berikutan berlaku serangan mortar di Reyhanli. FOTO Amir Abd Hamid

Beliau berkata, mereka segera keluar dari Reyhanli jam 4 petang (waktu tempatan) semalam menuju ke Antakia yang mengambil masa dua jam perjalanan darat.

Mengulas lanjut, katanya, rombongan misi akan bermalam di Antakia sebelum mengambil penerbangan ke Ankara dari Lapangan Terbang Hatay, Isnin ini, untuk bertemu Duta Malaysia di Turki di kedutaannya.

“Dalam pertemuan dengan Datuk Bandar Reyhanli, beliau memaklumkan semua sekolah ditutup sekurang-kurangnya dua minggu akibat serangan berkenaan,” katanya.

Bantuan untuk mangsa konflik Syria adalah berterusan dan rakyat Malaysia yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Muslim Care, 564490413882 (Maybank), 14014 010147470 (Bank Islam) atau hubungi Setiausaha Agung Muslim Care Zakaria Abd Latif di talian 012-6935938.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 5:48 AM