Jasin: Syarikat penerbangan tempatan dan luar negara yang menjadikan negara ini sebagai destinasi persinggahan diseru mengisytiharkan basikal sebagai peralatan sukan bagi membolehkannya dibawa masuk ke pesawat tanpa caj.

Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata, banyak syarikat penerbangan antarabangsa mengamalkan polisi itu ketika ini.

“Syarikat penerbangan antarabangsa sudah memulakannya malah Garuda Airlines turut membenarkan basikal dibawa masuk ke pesawat tanpa caj.

“Kami di Tourism sudah menulis surat kepada Penerbangan Malaysia Malaysian (MAS), Malindo Air dan Air Asia sendiri supaya mengklasifikasikan basikal sebagai peralatan sukan.

“Pelancongan berbasikal di negara ini makin berkembang dan Thailand mula mengikut langkah kita mempromosikan pelancongan berbasikal di negara mereka.

“Malah baru-baru ini Bangkok Airways melancarkan kempen siapa mahu bawa basikal boleh menaiki pesawat mereka,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri Datuk Ng Choon Koon, Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar, Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin Othman Ab Latif dan Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim.

Beliau berkata, pihaknya bercadang meningkatkan promosi pelancongan sukan berbasikal termasuk kejohanan itu ke peringkat antarabangsa terutamanya di negara jiran.

Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia semalam menyaksikan seramai 20 peserta dari luar negara mengambil bahagian iaitu dari Thailand, Singapura, Australia, New Zealand, Scotland dan Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:07 AM