Oleh Md Fuzi Abd Lateh

Kuala Kubu Bharu: Pelumba sirkit Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 akhir di IKBN Pertak, Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu , Sabtu lalu menerima ‘Minuman Tenaga Super Sihat’ (Verve) secara percuma.

Pegawai Eksekutif Pemasaran Vemma Malaysia Berhad, Michelle Soo berkata, mereka menyediakan lebih 1,300 tin minuman pelbagai perisa yang berkhasiat kepada pelumba.

Katanya, minuman itu mengandungi formula Vemma dan 75 miligram kafein semula jadi dilengkapi nutrien diperlukan badan manusia khususnya atlet berbasikal.

“Kami sedia menyumbangkan minuman ini kepada mereka dan juga menjadi rakan penaja bersama sirkit MTB Harian Metro setiap kali diadakan.

“Petugas dan sukarelawan kami mengagihkan minuman ini ketika pelumba tiba di garisan penamat. Mereka perlu diberikan air tenaga luar biasa yang sedap ini,” katanya.

Beliau berkata, kemeriahan penganjuran sirkit berprestij itu perlu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk pihaknya.

“Kami gembira turun padang mengagihkan minuman ini kepada pelumba yang mengambil bahagian.

“Minuman ini diperkaya buah manggis yang tinggi dengan sumber xanthon, aloe vera yang kaya dengan glikonutrien dan teh hijau sebagai tambahan kuasa antioksidan kuat yang diperlukan badan kita,” katanya.

Sementara itu, penaja lain yang turut bekerjasama menjayakan kejohanan adalah Tourism Malaysia (penaja utama), Honda Malaysia Sendirian Berhad, Powerbar, Deuter, Perskindol (Zuelig Pharma Sendirian Berhad), Tesco Malaysia, Jiwa Basikal Bukit Beruntung dan roti High 5.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 4:55 AM