RASHID tekad tunai hasrat ayah.
RASHID tekad tunai hasrat ayah.
Oleh Md Fuzi Abd Lateh

Kuala Kubu Bharu: Pelumba muda pasukan Team DR2, Abd Rashid Hisham semakin yakin untuk menyaingi peserta lain bagi kategori XC Race remaja sirkit Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia tahun ini.

Walaupun baru berusia 15 tahun, pelumba kelahiran Kulim, Kedah itu sudah mampu mengorak kejayaan baik berdasarkan pencapaian peribadinya.

Katanya, menduduki tempat ketujuh pada sirkit akhir di Kuala Kubu Bharu bulan lalu cukup memberi kelegaan dan kegembiraan buatnya.

“Saya seorang pelumba yang masih mentah tapi saya tidak kisah bersaing dengan pelumba terkemuka.

“Ketika beraksi sirkit MTB di Nibong Tebal saya menduduki tempat keenam. Saya tidak bertanding di Asahan, Melaka tahun lalu,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putera, Baling itu berkata, dia menya
sarkan kedudukan 10 terbaik pada saingan tahun ini.

Menurutnya, pengalaman menjalani latihan berbasikal kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) di Kedah dua tahun lalu menyuntik keyakinan yang lebih untuk mengharungi saingan sirkit akhir itu.

“Pelumba memang diuji kekuatan mental dan fizikal di Kuala Kubu Bharu apabila meredah hutan dara sejauh 38 kilometer dengan suasana trek yang basah dan licin.

“Kami perlu menggunakan cabaran itu untuk mematangkan diri apabila bersaing pada sirkit tahun ini,” ujarnya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu optimis mampu muncul di podium suatu hari nanti bagi menunaikan hasrat ayahnya, Hisham Baharuddin yang sentiasa memberi sokongan padu terhadapnya sejak berusia 12 tahun.

Katanya, latihan mengikut jadual terancang sudah dimulakan ketika masih bercuti sekolah selama tiga jam setiap hari.

“Kami cuba mempelbagaikan variasi latihan kayuhan secara berkumpulan di trek hutan, meredah sungai dan jalan raya di Kedah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 6:01 AM