HAZRIL MDNOR akui teknologi kini semakin maju dan mampu memberikan impak yang nyata pada gaya hidup remaja. Kali ini Gen Y membincangkan hal negatif yang berlaku berpunca daripada perkembangan teknologi ini.

Perkembangan teknologi pesat seperti kewujudan laman sosial dilihat sebagai medium untuk berkongsi apa saja pendapat dan hal yang berlaku dalam kehidupan seharian remaja. Meskipun terdapat elemen positif seperti keupayaan untuk menghubungkan semua orang dengan mudah, kewujudan teknologi ini juga dilihat sebagai pemangkin gejala sosial yang negatif. Gen Y membincangkan beberapa isu berkaitan pengaruh teknologi pada kehidupan remaja sepanjang tahun ini.

Selfie maut

'Selfie' adalah fenomena baru dalam kalangan anak muda sejak 2012. Boleh dikatakan hampir semua remaja kini mampu memiliki telefon pintar yang mempunyai kamera depan untuk merakam 'selfie'. Berbanding tahun lalu, 'selfie' kini bukan sekadar aktiviti merakam diri sendiri, tetapi juga lebih mengutarakan kelainan kononnya ingin mencabar diri melakukan se-suatu yang dianggap mustahil dan unik.

Terbaru, remaja yang juga seorang jurugambar dari Moscow, Kiril Oreshkin merakamkan aksi 'selfie' di atas bangunan pencakar langit. Aksi berani mati Kiril dipuji anak muda lain di laman sosial dan tidak kurang juga yang lebih sinis dengan melabel dirinya gila dan tidak takut mati. Apa pun alasannya memberanikan diri dengan aksi sedemikian, tindakannya memberikan tanggapan yang tidak baik kepada budaya 'selfie' ini.

Lebih mengejutkan lagi apabila aksi berani Kiril dicontohi gadis tempatan yang turut merakam dirinya 'selfie' di atas bangunan yang terletak di bandar raya Kuala Lumpur. Aksinya yang memegang 'monopod' dan merakam dirinya ketika duduk di pinggir bumbung bangunan seolah-olah kelihatan tak masuk akal. Dengar mungkin pelik tapi itulah hakikat yang berlaku sekarang.

Keyboard warrior

Rasanya semua orang pernah mendengar istilah 'keyboard warrior'. Pada masa kini, istilah ini seolah-olah sudah sinonim dengan gaya hidup anak muda tempatan yang gemar melontarkan cemuhan melalui alam maya. Kepada yang menjadi mangsa kritikan, pastinya sedikit sebanyak memalukan dirinya kerana mendapat perhatian orang ramai.

Tahun ini saja banyak juga kes berlaku yang mengaitkan istilah popular ini. Perihal artis yang ingin mengenakan hijab, malah penghijrahan mereka ke arah lebih baik juga dipersoalkan beberapa anak muda yang lantang bersuara di laman sosial. Ibaratnya, belia masa kini lebih gemar memberi pendapat disertai emosi dan rasa tidak puas hati seolah-olah mengetepikan perasaan orang lain. Persoalannya, adakah diri kita sudah cukup sempurna untuk menilai?

Justeru, boleh dilihat betapa besarnya impak teknologi terutama pengaruh media sosial pada gaya hidup anak muda yang leka melayari laman sosial hanya untuk melontarkan kritikan dan bukannya memberi kata-kata membina.

Penulis rasakan lebih elok jika kita muhasabah diri dan sentiasa memikirkan kesan buruk yang akan berlaku apabila kita menabur kata-kata fitnah. Sekurang-kurangnya kita dianggap sebagai generasi yang inovatif dan matang berbanding sebelumnya.

Bercerai kerana 'game'

Pasti terkejut dan hairan sewaktu memperhatikan pasangan yang sudah lama membina mahligai cinta tiba-tiba bercerai kerana hal yang remeh. Lebih mengejutkan apabila penyebab utamanya kerana ketagihan permainan video. Itulah senario yang berlaku pada 2014 ini. Ada kes suami isteri bercerai kerana tidak mempersetujui gaya hidup pasangan mereka yang ketagih permainan itu.

Seperti yang dilaporkan akhbar tempatan, seorang lelaki menceraikan isterinya yang terlalu taasub dengan permainan maya yang dimuat naik dalam iPad milik isterinya. Bukan itu saja, di laman sosial juga terutama WeChat banyak menunjukkan anak muda mengambil 'screenshot' perbualan mereka dan pasangan yang bergaduh hanya kerana 'game'.

Secara keseluruhannya, kes sebegini menunjukkan pengaruh teknologi terutamanya permainan maya yang berlandaskan peranti mudah alih seperti 'tablet', malah telefon pintar lebih banyak kesan buruknya jika tidak dikawal.

Cinta jalan singka

Kalau dulu bercinta memerlukan kedua-dua insan berjumpa dan bertegur sapa, lain pula apa yang dilihat sekarang. Anak muda semakin gemar menggunakan 'medium' laman sosial sebagai cara paling efektif untuk mencari pasangan seperti fungsi aplikasi sosial yang popular membolehkan hal itu terjadi dengan mudah.

Positifnya, fungsi media sosial ini memudahkan lagi perhubungan jarak jauh tapi jika kita lihat dari sudut lain, ia juga penuh dengan pengaruh negatif. Aplikasi WeChat terutamanya memberikan kelonggaran kepada pengguna di mana fungsi seperti 'look around' diwujudkan untuk memudahkan pengguna mencari rakan atau pasangan alam maya.

Terdapat juga kes di mana pelajar sekolah ditipu, malah dipermainkan oleh pengguna aplikasi itu. Oleh kerana terlalu percayakan kata-kata manis, mereka mudah jatuh ke dalam perangkap maya.

Hakikatnya, hal sebegini semakin meningkat serius dan jika tidak berwaspada dari sekarang, lebih ramai yang akan menjadi mangsa cinta siber. Oleh itu, jadikanlah aplikasi sosial sebagai landasan yang selamat dan berhati-hati ketika berkenalan dengan individu yang tidak diketahui asal usulnya.

Tipu daya perniagaan Internet

Sanggup memandu kereta jauh dari rumah hanya untuk mendapatkan koleksi busana yang mendapat diskaun murah. Namun kini, perniagaan pakaian seperti baju, seluar, malah aksesori di Internet semakin popular dan mendapat sambutan. Positifnya, ia memudahkan urusan jual beli di mana pembeli boleh membeli secara langsung tanpa perlu membuat pembayaran di kedai.

Namun, disebabkan peningkatan jumlah pembeli barangan di Internet, semakin banyak pula pihak yang mengambil kesempatan.

Buktinya, Internet yang digunakan masyarakat untuk mencari, berkongsi maklumat dan berkomunikasi disalahgunakan untuk aktiviti jenayah seperti penipuan Internet.

Menurut laporan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 876 kes penipuan penghantaran bungkusan berlaku pada 2011 membabitkan kerugian RM18.9 juta. Pada tahun berikutnya, jumlah kerugian meningkat kepada RM34.6 juta walaupun jumlah kes yang dilaporkan menurun kepada 814 kes. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2013 pula, sebanyak 381 kes dilaporkan dengan kerugian RM14.1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:02 AM