Calon PN, Khairul Azhari Saut (kanan) beramah mesra peniaga ketika walkabout di Pasar Pagi Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Calon PN, Khairul Azhari Saut (kanan) beramah mesra peniaga ketika walkabout di Pasar Pagi Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Mahani Ishak


Hulu Selangor: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut berharap tiada lagi isu peribadi yang akan dijadikan 'senjata' bagi menyerangnya sepanjang kempen pilihan raya.

Pemangku Bersatu Hulu Selangor itu berkata, pengesahan daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengenai kesahihan akademiknya itu 'menutup mulut' pihak yang mempertikaikannya.

"Pengesahan kelayakan sudah dilakukan dan yang penting, kita mahu jadi pemimpin berintegriti dan tidak perlu menipu.

"Jangan gunakan lagi isu ini untuk serangan peribadi. Kita kempen secara baik, serangan peribadi ini tidak bagus," katanya ketika ditemui selepas program masyarakat di Kampung Chuang, di sini, hari ini.

Kontroversi membabitkan kelayakan pendidikan Khairul Azhari diperdebatkan susulan menimbulkan kekeliruan kerana beliau memiliki ijazah sarjana tanpa tanpa ijazah sarjana muda.

Sementara itu, ditanya mengenai pendekatan meraih undi bukan Melayu, beliau menjelaskan, PN menyantuni semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan warna kulit.

"Kita tahu sebelum ini (ketika) PN jadi kerajaan, kita santuni semua orang selagi semua adalah rakyat Malaysia (kerana) mereka berhak mendapat apa yang patut diperoleh.

"Pastinya kita mengharapkan pengundi bukan Melayu melihat apa rekod yang kita telah buat walaupun dalam masa yang pendek, semua dapat manfaat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:11 PM