Ketua Polis Johor, M.Kumar (dua dari kanan) menunjukkan paket minuman berjenama yang dipaketkan semula bersama dadah yang dirampas. FOTO OMAR AHMAD
Ketua Polis Johor, M.Kumar (dua dari kanan) menunjukkan paket minuman berjenama yang dipaketkan semula bersama dadah yang dirampas. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Seramai 11 penjawat awam positif dadah ditahan ketika sedang asyik berhibur di sebuah pusat hiburan di Batu Pahat, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam serbuan Ops Hibur dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor pada 1 pagi itu, pihaknya turut menahan 19 lagi individu yang didapati positif dadah.

Katanya, menerusi serbuan itu, polis membuat pemeriksaan terhadap 49 individu yang sedang berhibur.

"Hasil saringan awal air kencing mendapati seramai 30 orang terdiri daripada 24 lelaki dan enam wanita positif dadah.

"Daripada jumlah itu, seramai 11 penjawat awam lelaki serta seorang remaja lelaki bawah umur didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine.

"Pusat hiburan terbabit mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan yang sah tetapi beroperasi melebihi masa ditetapkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Kumar berkata, semua yang ditahan berusia antara 17 hingga 52 tahun manakala penjawat awam yang ditahan berusia antara 24 hingga 49 tahun.

Katanya, dalam operasi sama polis turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis yang juga didapati positif dadah.

"Kesemua yang ditahan direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 2:41 PM