SELFIE mampu membunuh sekiranya dilakukan sebegini.
SELFIE mampu membunuh sekiranya dilakukan sebegini.
SELFIE mampu membunuh sekiranya dilakukan sebegini.
SELFIE mampu membunuh sekiranya dilakukan sebegini.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Di Filipina, seorang gadis terbunuh akibat terjatuh dari tangga di sebuah bangunan sekolah ketika merakamkan selfie. Di St. Petersburg, Russia pula gadis berusia 19 tahun, Xenia Ignatyeva maut tergelincir daripada jambatan dek keasyikan mengambil potret diri manakala kes yang menyayat hati berlaku ke atas Courney Sanford, 32, di Amerika Syarikat apabila terbabit dengan kemalangan jalan raya sebaik saja selesai mengemas kini status 'Happy' dan memuat naik gambar selfie di laman Facebook.

Di Malaysia, walaupun belum pernah dilaporkan mengenai tragedi membabitkan gejala selfie, semakin ramai kini yang cuba melakukan aksi berbahaya misalnya selfie ketika memandu dan ada juga yang lebih berani melakukan selfie di tengah jalan raya ketika kereta sedang berhenti.

Selain itu, trend merakam gambar selfie yang paling unik dan ekstrem menjadi kegilaan segelintir manusia hari ini. Semakin 'gila' aksi yang ditunjukkan, semakin ramai yang menyukainya.

Contohnya, merakam gambar selfie dari bangunan tinggi, puncak gunung dan mengeluarkan badan dari kereta api yang sedang bergerak laju. Mungkin pelakunya menikmati kepuasan daripada tindakan seperti ini namun selfie mampu membunuh sekiranya dilakukan pada tempat yang tidak sepatutnya.

Berikutan kejadian yang berlaku di seluruh dunia membabitkan selfie, Jabatan Kesihatan Mental Thailand mengeluarkan keputusan kajian mereka mengenai trend popular selfie masa kini. Laporan kajian menunjukkan selfie boleh menyebabkan individu hilang keyakinan selain ketagihan yang membawa kepada impak negatif terhadap kehidupan dan pekerjaan mereka.

Sikap ini menyebabkan masalah mental pada masa hadapan terutama berkaitan keyakinan diri dan kesan negatif terhadap kehidupan seharian, karier dan pembangunan negara. Memuat naik gambar selfie terlalu banyak dengan sering memeriksa komen yang diberikan satu petanda selfie boleh menyebabkan pelbagai masalah termasuk kemungkinan hilang keyakinan diri.

Kini budaya selfie ada di mana-mana. Di tempat awam sehinggalah ke kawasan peribadi di bilik tidur, tandas mahupun tanah perkuburan, selfie atau mengambil gambar sendiri tanpa bantuan orang lain dilakukan sesiapa saja tanpa mengira usia, pangkat atau status diri. Adakalanya ia menjadi satu perlumbaan di media sosial, siapa yang paling banyak memuat naik gambar selfie dengan penampilan paling menarik, unik serta lain daripada yang lain.

Di pihak lain pula iaitu mereka yang melakukan selfie tentunya tertunggu-tunggu berapa 'like' yang akan diperoleh serta komen diterima. Semakin banyak like dan komen sudah tentu ia menghadirkan satu perasaan yang sukar diungkapkan; gembira, seronok, ceria malah lebih daripada itu. Inilah penangan selfie.

Sebenarnya tidak semua perkara patut diberitahu kepada orang lain dan tidak semua hal patut dikongsi bersama orang lain. Ada keadaan tertentu lebih baik untuk seseorang itu berdiam diri.

Dari segi lain, ia mengingatkan kita betapa sifat menunjukkan diri kepada orang lain patut ada batasnya. Kemunculan pelbagai teknologi canggih hari ini datang lengkap berpakej iaitu kesan baik atau buruk. Jika dulu telefon genggam hanya digunakan sekadar menelefon dan menghantar pesanan ringkas, kini dimajukan dengan aplikasi kamera dan wifi sehingga diibaratkan komputer dan telefon bergerak anda. Ditambah kemeriahan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter, hubungan antara alat komunikasi telefon dan media sosial tersangat erat, ibarat suami isteri saling memerlukan.

Ini sekali gus boleh melenyapkan budaya merendah diri dan dan tidak menonjolkan diri secara keterlaluan yang sering diamalkan sejak zaman silam. Mungkin mereka yang tidak tahu melakukan selfie dianggap kolot dan tidak mengikut trend.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal, kehadiran teknologi biasanya membawa kebaikan dalam perniagaan. Kehadiran telefon pintar misalnya menjadikan pelbagai rekaan peralatan telekomunikasi seperti monopod yang didatangkan bersama alat kawalan jauh berkembang maju.

Rata-rata remaja memiliki monopod mereka sendiri dan ini menjadikan teknik selfie menjadi lebih mudah, luas dan pelbagai.

"Namun, harus diingat di sebalik kebaikan monopod hadir bersama keburukannya. Apa saja teknologi datang bersama kawalan etika dan adab yang semakin dilupakan sedangkan masyarakat Melayu penuh dengan kesopanan serta berbudi pekerti tinggi," katanya.

Jelasnya, selfie adalah budaya baru yang tentunya datang bersama garis panduan. Namun, remaja hari ini melupakan apa yang sepatutnya mereka lakukan sehingga wujudnya pelbagai selfie dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Berbahaya, tidak sopan, memalukan sehingga aksi lucah yang hanya dilakukan di dalam bilik tidur dimuat naik semata-mata inginkan perhatian atau komen pembaca.

Dari segi lain, perkembangan media sosial khususnya Facebook sedikit sebanyak mendedahkan aib sendiri. Ia juga menjadikan generasi hari ini tidak berfikir panjang dan membuat keputusan terburu-buru. Mereka berbuat sesuatu tanpa berfikir kesannya di kemudian hari. Semuanya mahu cepat seperti mana pemikiran mereka yang sentiasa pantas bergerak.

"Saya sering melihat remaja hari ini selfie di mana saja. Sebenarnya apa juga dilakukan harus mengikut protokol dan dengan siapa mereka berada. Misalnya dalam majlis tertentu perlu meminta izin untuk mengambil gambar dan memuat naik gambar itu. Begitu juga dengan kawasan yang tidak sepatutnya digunakan untuk selfie seperti bilik air, bilik tidur serta kawasan yang akan mewujudkan prasangka tidak baik seperti tanah perkuburan dan di dalam masjid," jelasnya.

Namun, begitu selfie juga mampu mendatangkan semangat kepada orang lain sekiranya disertakan bersama keterangan gambar yang membina seperti ketika menerima anugerah atau memenangi sebarang acara.

Bagi yang gemar mengambil gambar sendiri yang dikatakan sebagai simpanan harus berhati-hati, dikhuatiri gambar itu digunakan pihak lain untuk dipaparkan di laman sosial. Sebab itu ada kes imej separuh bogel dan tidak sepatutnya disebarkan di Facebook pada hal mereka mengakui tidak memuat naik gambar terbabit.

Apa yang boleh dilakukan adalah terus memadamkan gambar lucah atau menimbulkan prasangka negatif juga tidak membiasakan diri mengambil gambar dalam keadaan tidak senonoh. Remaja harus ingat apa saja perbuatan buruk mereka akan meninggalkan kesan jangka panjang di kemudian hari.

Ibu bapa pula harus ada rasa cemburu terhadap anak-anak. Cemburu yang dimaksudkan adalah sentiasa mengambil tahu pergerakan anak dan rakan mereka. Sekali-sekala periksa telefon anak anda supaya tahu bahasa digunakan dan rakan mereka. Terlalu membiarkan anak-anak lepas bebas akan memakan diri sendiri.

Anak-anak diibaratkan seperti layang-layang yang talinya ada di tangan ibu bapa. Sampai masanya ibu bapa akan menarik tali mengikut arah yang mereka kehendaki.

Memberikan telefon pintar kepada anak yang masih bersekolah juga mendatangkan keburukan kerana peranan mereka di sekolah adalah untuk menuntut ilmu.

"Saya tidak nafikan telefon sangat penting terutama memudahkan ibu bapa menghubungi anak. Apa salahnya berikan telefon yang dapat digunakan untuk perkara asas saja seperti menelefon dan menghantar pesanan ringkas. Mungkin nampak kolot tetapi mampu mendidik anak mengikut acuan yang diinginkan," jelasnya.

Kepada golongan remaja dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak terlalu mengikut trend. Ini kerana anda tidak akan dianggap kolot. Lakukan sesuatu secara berpada-pada dan utamakan keselamatan, kesihatan serta maruah diri daripada segala-galanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:02 AM