FARAH Ain (tengah) berjaya meraih emas dalam acara individu wanita. FOTO Ihsan World Bowls
FARAH Ain (tengah) berjaya meraih emas dalam acara individu wanita. FOTO Ihsan World Bowls
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Segala pengorbanan dan penat lelah ketika membuat persiapan untuk menyertai Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Guernsey akhir dituai dengan kejayaan gemilang apabila Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Kontinjen negara ke kejohanan itu meraih kejayaan gemilang dengan membawa pulang satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Ia adalah pencapai terbaik yang pernah dicapai pemain negara di kejohanan berkenaan.

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz mengakui ia adalah pencapaian di luar jangkaan.

"Saya memang menjangkakan atlet kita akan berjaya membawa pulang pingat tapi tidak menyangka mereka berjaya memberikan lebih daripada itu iaitu bergelar juara keseluruhan.

"Mereka berjaya melakar sejarah dalam sukan ini kerana kita belum pernah bergelar juara keseluruhan di kejohanan dunia.

"Semuanya bukan mudah. Akhirnya pengorbanan mereka berbaloi. Berlatih di bulan puasa, raya kedua sudah kembali berlatih dan inilah hasilnya dibayar dengan kejayaan yang manis," katanya.

Pingat emas negara disumbangkan dalam acara individu wanita menerusi Nor Farah Ain Abdullah yang mengenepikan cabaran atlet Malta, Connie Nixon menerusi aksi straight set 6-2, 6-3.

Lebih manis Farah turut berjaya menewaskan juara bertahan sebanyak dua kali berturut-turut dari Scotland, Julie Forrest dalam perjalanannya bergelar juara.

Atlet berusia 23 tahun itu juga menyumbang pingat gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple selepas tewas 2-9, 3-11 kepada Ray Pearse dan Samantha Atkinson dari Australia di separuh akhir.

Sementara itu, Izzat Shameer juga tampil cemerlang apabila merangkul pingat perak menerusi acara individu lelaki apabila tewas 5-6, 3-9 kepada wakil tuan rumah, Jason Greenslade di pentas final.

Awalan turut menjelaskan, pihak persatuan sedia untuk memberikan insentif kepada dua atlet itu sebaik pulang ke tanah air atas kejayaan mereka mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Biarpun tidak banyak tapi Insya-Allah mereka akan dapat sedikit insentif ini kerana PLBM bukan persatuan yang besar. Insentif diberi mengikut kemampuan persatuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 2:44 PM