Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kanan) bersama Ameng Spring (dua kanan) yang hadir pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Parlimen Larut di Dewan Semai Bakti Felda Ijok. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kanan) bersama Ameng Spring (dua kanan) yang hadir pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Parlimen Larut di Dewan Semai Bakti Felda Ijok. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Larut: Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) akan menyerahkan notis pengosongan kerusi kepada enam Ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) terlebih dulu untuk mengesahkan segala tindakan yang diambil nanti.

"Arahan itu saya terima daripada Majlis Tertinggi dan selepas PRK Kuala Kubu Baharu, kita akan segera melaksanakan mesyuarat ini.

"Sehari selepas mesyuarat itu, kita akan serah notis kepada enam Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menyokong kerajaan.

"Sepatutnya mesyuarat ini akan kita adakan dalam masa terdekat namun terpaksa fokus pada PRK dulu," katanya ditemui media dalam Sambutan Aidilfitri Parlimen Larut di Dewan Semai Bakti Felda Ijok, di sini, hari ini.

Menurut, tindakan diambil itu bukan hanya kepada enam Ahli Parlimen dan seorang Adun itu saja malah peringatan dan pengajaran kepada kesemua ahli Bersatu.

Enam Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Adun yang menyokong kerajaan pula ialah Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Dalam pada itu, Hamzah menyifatkan tindakan segelintir daripada enam Ahli Parlimen itu yang dilihat mengambil mudah dengan tindakan bakal dikenakan terhadap mereka sebagai permainan psikologi terhadap diri sendiri.

"Tak perlu komen tindakan mereka itu, kalau dah kena esok baru dia tahu.

"Biarkan tindakan dia psiko diri sendiri sebab nak melegakan diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 2:33 PM