GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Pernah sekali MURSHID EUNOS ternampak dengan mata sendiri sekumpulan gadis yang begitu kecoh mencari sudut paling comel untuk 'selfie' sebelum menunaikan solat. Walaupun itu hak masing-masing tapi sedikit sebanyak ia mengganggu pandangan hingga mengundang orang lain bercerita

Sepanjang Ramadan lalu, banyak juga Gen Y menerima kiriman e-mel daripada anak muda yang berkongsi perasaan marah mereka terhadap segelintir sikap remaja yang begitu galak mengambil gambar atau 'selfie' dalam masjid semata-mata untuk dimuat naik ke laman sosial.

'Selfie' merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri menggunakan telefon pintar untuk dimuat naik ke laman sosial.

Ada alasan kononnya nak kongsi aktiviti baik de­ngan menunaikan solat, tapi tak kurang juga yang se­ngaja melihat komen daripada teman dan pengikut masing-masing. Gen Y pernah berkongsi kisah ini secara umum mengenai sikap anak muda kita yang tak patut berkelakuan seperti itu.

Tak patut kerana tindakan itu mengganggu orang lain yang ternampak dan tidak kurang yang mengumpat atau mengata di dalam hati apabila melihat tindakan bergambar dengan wajah paling comel.

Timbul persoalan apakah hukum 'selfie' ketika orang lain mengejar sebanyak-banyak pahala tapi kita pula sibuk mencari sudut wajah paling menarik untuk ditayangkan di laman sosial. Apabila ada komen yang memuji, makin panjanglah senyum masing-masing.

Mana datangnya fokus itu?

Individu yang 'selfie' mestilah menjaga adab sopan dan hukum-hakam agama seperti menutup aurat, memakai pakaian longgar, tidak melampau serta tidak bertujuan menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah.

Terbaru, ada pula rakan Gen Y yang membangkit­kan isu remaja gemar tidak mematikan telefon ketika bersolat di masjid terutamanya sembahyang Jumaat hingga ia mengganggu fokus jemaah lain dengan bunyi nada bunyi telefon yang begitu kuat.

Hari ini ramai hadir ke masjid dan surau bersama dengan telefon bimbit masing-masing khususnya golongan remaja yang sudah tidak boleh dipisahkan de­ngan teknologi moden ini.

Memetik sebuah kenyataan yang pernah diterbitkan dalam sebuah akhbar sebelum ini, bunyi deringan telefon bimbit ketika solat sebenarnya antara perkara yang mengganggu solat dan mengganggu ketenangan dan fokus dalam solat.

Tidak kira sama ada kita solat bersendirian ataupun berjemaah. Kalau kita solat bersendirian, ia akan meng­ganggu solat kita tetapi kalau solat berjemaah, ia akan mengganggu solat ramai orang.

Beberapa perkara perlu diberikan perhatian kerana telefon bimbit adalah teknologi baru dan tiada hukum yang disebut secara jelas dalam al-Quran dan hadis. Bagaimanapun, ada hukum mengenai mengganggu sama ada sengaja ataupun tidak orang yang sedang solat.

Kalau kita perhatikan di pintu dan dinding masjid tertera poster atau peringatan mengenai perlunya mematikan telefon bimbit. Jika kita solat bersendirian adalah perlu untuk mematikan telefon terlebih dulu atau letakkan ia dalam nada senyap.

Biasakan dengan tindakan ini. Lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan.

Kita perlu ingat yang tiada perkara lebih penting selain daripada solat kita. Sebab itulah apabila solat hendaklah memilih tempat dan keadaan sesuai untuk solat. Bagaimanapun, apabila kita memilih tempat solat yang tenang, kita diganggu bunyi telefon kita sendiri, ia akan mengurangkan fokus dan rasa khusyuk kita dalam solat dan apabila ia berterusan dalam masa lama, maka hilang teruslah fokus kita dalam solat.

Apabila kita solat berjemaah, maka akan lebih ramai orang yang akan terganggu dengan bunyi telefon bimbit kita. Hukum mengganggu orang yang bersolat adalah haram. Ini berdasarkan Hadis riwayat Al Bukhari yang sengaja Gen Y petik bermaksud: "Barang siapa yang makan bawang putih, maka jauhilah masjid-masjid kami."

Dalam hadis ini, larangan Nabi bukannya bunyi tapi adalah bau mulut yang boleh mengganggu orang lain. Kalau kerana bau mulut pun dilarang masuk ke masjid, apa lagi kalau bunyi. Malah bacaan al-Quran yang kuat juga dianggap mengganggu jemaah lain.

Apabila telefon bimbit kita berbunyi, maka wajiblah mematikannya dengan segera. Persoalannya, boleh­kah mematikan telefon bimbit dalam solat? Jawabnya boleh asalkan mematuhi peraturan dalam fikah. Jika dalam mazhab Syafie tidak boleh bergerak dua kali berturut-turut.

Usahakanlah agar dapat mematikan telefon bimbit kerana jika kita mengganggu orang dalam solat, maka berdosalah kita sedangkan solat mendatangkan pahala.

Ada juga kawan-kawan muda kita yang memasang nada bunyi ayat suci dan bunyi azan. Itu satu anjakan positif yang baik. Cuma pada pandangan Gen Y, ia kurang sesuai jika si pemilik telefon bimbit itu terlupa hingga bunyi itu kedengaran di dalam tandas.

Jujurnya, penulis sendiri pernah berdepan senario itu, baru-baru ini apabila tandas bersebelahan tiba-tiba terdengar laungan azan yang diikuti ayat suci al-Quran. Mungkin posisi telefon bimbit itu jauh daripada pemiliknya hingga terpaksa bu­nyi itu berlanjutan dan tak manis didengar orang lain.

Tak berani pula Gen Y nak mengatakan ia salah atau satu dosa, cuma jujurnya ia tidak sesuai.

Mungkin selepas ini, kita semua boleh lebih peka dengan keadaan sekeliling sama ada untuk mengurangkan 'selfie' ketika mahu bersolat, menutup telefon bimbit ketika bersolat dan menukar nada dering telefon kepada lagu lain untuk masuk ke tandas.

Sama-samalah kita berubah untuk kebaikan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 5:09 AM