IAN (tengah) cipta lagu untuk Jethro Tull.
IAN (tengah) cipta lagu untuk Jethro Tull.
Oleh Georgie Joseph

Era 1960-an dan 1970-an memang melahirkan ramai pemuzik bijaksana yang mana karya dihasilkan mereka melangkaui peredaran masa. Seakan sudah mampu meramal jauh lagu dihasilkan akan masih berbisa, buktinya nama mereka masih tetap disegani kini meskipun ada yang sudah tiada.

Bagaimanapun, kekal tetap berjuang, siapa tidak kenal nama pemuzik handalan yang jika dibentang pencapaiannya bukan alang-alang iaitu Ian Anderson. Pada usia 67, tidak nampak lagi tanda penyanyi serta penulis lagu itu bakal menoktahkan kerjayanya dalam muzik.

Sama ada pengikut menyenanginya berdiri atas nama sendiri ataupun disebabkan dia anggota band rock Jethro Tull, Ian sudah layak digelar legenda. Sumbangannya dalam arena muzik baik di Britain mahupun Amerika Syarikat (AS) bahkan seluruh dunia ternyata sangat mengagumkan.

Selain Ian, band yang mula ditubuhkan di Luton, Bedfordshire, United Kingdom, pada 1967 itu turut dianggotai Martin Barre (gitar), Doane Perry (dram), and Dave Pegg (gitar bass).

Bersempena 40 tahun bersama Jethro Tull, November ini band itu akan melancarkan album kompilasi terbaru mereka berjudul War Child 40th Anniversary Theatre Edition. Menghimpunkan lagu hebat sepanjang zaman mereka, tiga lagu baru turut dimuatkan termasuklah Tomorrow Was Today, Good Godmother dan War Child dengan susunan terbarunya.

Tentu lain penerimaannya pada sekarang apa lagi dalam kalangan muda-mudi band berkenaan mungkin agak asing. Bagaimanapun, sudah pasti faham situasi itu menurut Ian, karya dalam album itu sebenarnya ringkas dan amat mudah untuk dihayati pendengar.

"Album berkenaan adalah nafas baru kepada album War Child yang dilancarkan pada Oktober 1974. Awalnya, album itu bertujuan dijadikan lagu runut bunyi sebuah filem namun sedikit tidak menjadi. Bagaimanapun, dapat melancarkan semula album terbabit memang tidak tergambar rasa seronoknya.

"Kali ini yang pasti kami menjadikan bunyinya lebih ringkas dan relevan. Berbeza dengan komposisi muzik sebelum ini yang turut diselit dengan instrumen berat seperti saksofon, pendengar akan lebih mudah menghayati album berkenaan," katanya menerusi perbualan telefon bersama RAP, kelmarin.

Mengimbas semula kegemilangan masa lalu mereka, mana band berkenaan cukup terkenal dengan lagu Bungle In The Jungle, Thick As A Brick dan A Passion Play. Menerusi lagu Bungle In The Jungle, nama mereka terus menakluk AS suatu ketika dulu dan masih diingati rentetan pernah menghasilkan lagu tidak henti selama 40 minit.

Mengakui elemen muzik mereka sekarang lebih progresif, Ian turut membuat perbandingan antara muzik pada era terdahulu dengan sekarang ini. Ternyata, evolusi yang sangat besar terjadi kepada muzik Jethro Tull daripada banyak aspek.

"Pada era 1960-an, lagu yang kami hasilkan kebanyakannya di luar konvensional. Kami banyak dibayangi muzik yang cukup popular ketika itu termasuklah The Beatles dan Pink Floyd menyebabkan susah untuk menonjol.

"Ia menuntut kami untuk akhirnya memasukkan elemen klasikal dan tradisional dalam melodi rock kami. Sekarang kami lebih selesa melabelkan muzik kami sebagai muzik progresif dan bukannya rock saja," katanya.

Bercakap mengenai Ian sendiri, tidak dinafikan dia tulang belakang di sebalik penghasilan lagu-lagu hebat mereka. Merungkai rahsia itu, ternyata dia juga bukannya mudah untuk sentiasa hadir dengan inspirasi.

"Semuanya berbalik kepada disiplin dan itulah yang saya praktikkan sejak dulu. Dari berhari, kemudian berbulan, memang saya cukup dedikasi apabila bekerja menghasilkan lagu di mana seawal pukul 9 pagi sudah mula memerah otak.

"Dengan komitmen sebegitu, sekurang-kurangnya dalam tiga lagu boleh saya siapkan sehingga tengah hari. Tidak dinafikan, selalu juga kekeringan idea dan tidak produktif. Satu lagi, saya bukan sekadar hanya duduk untuk mencari inspirasi tapi saya keluar berjalan-jalan demi mencari idea," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:02 AM