RADJA anggap ancaman bunuh diterima lumrah kehidupan, anggap Malaysia rumah ke-2.
RADJA anggap ancaman bunuh diterima lumrah kehidupan, anggap Malaysia rumah ke-2.
Zaara Talita


TERPALIT dengan kontroversi dan menerima ancaman bunuh selepas timbul salah faham dengan pihak penganjur, kumpulan dari Indonesia, Radja tidak menganggap apa yang timbul mencalarkan imej mereka.

Jauh sekali besar kepala dan sukar memberikan kerjasama, kumpulan yang ditubuhkan pada 2001 itu menganggap kisah sensasi yang timbul adalah lumrah kehidupan.

Radja yang dianggotai oleh Ian Kasela, 49 (penyanyi), Seno Aji, 43 (dram) dan Mouldyanshah Mulyadi, 49 (gitar) mengakui kewujudan Radja adalah hasil sokongan peminat yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya mereka.

"Saya tidak rasa timbul isu kami bersikap besar kepala atau sukar memberikan kerjasama kerana perkara sebegini tidak pernah wujud sebelum ini. Kami ada kerana anda semua. Itu adalah prinsip yang kami pegang dari dulu lagi hingga sekarang.

"Radja hanyalah manusia biasa. Malah, Malaysia juga diibaratkan rumah kedua buat kami," kata Ian.

Menganggap negara ini sebagai rumah kedua, Radja tidak menafikan timbul rasa trauma namun tidak menghalang mereka untuk hadir ke Malaysia selepas menerima ugutan bunuh pada Mac lalu.

Menurut Ian, mereka tidak mengambil masa yang lama sebelum bersetuju untuk bekerjasama dengan penganjur konsert mereka, Orange International Entertainment yang bakal berlangsung pada 12 November ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

"Tidak dinafikan timbul rasa trauma hendak mengadakan konsert di Malaysia, namun perasaan itu tidak lama kerana seperti yang saya katakan, negara ini ibarat rumah kedua kami. Malah, kami tidak mengambil masa yang lama sebelum bersetuju.

"Sebagai manusia, wajar untuk kami berasa trauma. Itu pasti akan ada tetapi kami akan tetap positif. Ada perkara lebih penting mahu difikirkan. Ini adalah isu dalaman penganjur itu sendiri, cuma kami mengambil pendekatan untuk lebih berwaspada terutama dari segi kontrak dan penganjur," katanya.

Menurut Ian, mereka mengambil pendekatan untuk tidak menggunakan khidmat orang tengah bagi mengelakkan salah faham pada masa hadapan.

Terdahulu, Radja membuat laporan polis kerana mendakwa menerima ancaman bunuh selepas mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, 12 Mac lalu.

Difahamkan, insiden bermula ekoran berlaku salah faham antara pihak penganjur konsert dan band berkenaan sehingga menyebabkan dua lelaki melempar kata-kata kesat serta ancaman bunuh.

Mengulas mengenai konsert yang bakal berlangsung, Seno menyifatkan kehadiran mereka kali ini ibarat membuka lembaran baharu.

Malah, konsert yang bakal diadakan lebih kepada keakraban di antara band dan juga peminat. Mereka juga bakal berkongsi pentas dengan ratu rock Malaysia iaitu Ella.

"Kami mahukan konsert yang 'intimate' agar peminat berasa lebih dekat. Kami juga mahukan sebuah pertunjukan yang 'sing-along' dengan kejutan yang sungguh istimewa.

"Kami sudah lama ingin bekerjasama dengan Ella di pentas yang sama dan penganjur berjaya merealisasikannya.

"Dua lagu popular kami iaitu Jujur dan Takkan Melupakanmu yang dinyanyikan semula oleh Ella sangat indah didengar. Maka, kami gabungkannya lalu menjadi tema buat konsert kali ini di samping menjalin perpaduan muzik di antara Indonesia-Malaysia yang sememangnya akrab sejak dulu lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 6:50 AM