JOE
JOE
Ridzuan Abdul Rahman


Jolokan sebagai ‘Guitar Hero’ yang diberikan kepadanya langsung tidak menjadikan Joe lupa diri atau bermegah-megah.

Sebaliknya, pemain gitar Wings ini mahu memanfaatkan pengalamannya selama 30 tahun dalam bidang muzik dengan mencungkil bakat baru.

Menerusi perancangan yang disusun, Joe menganjurkan pertandingan War Of Band yang bertujuan mengulangi kemeriahan industri hiburan tempatan yang pernah melalui zaman kegemilangan suatu ketika dahulu.

Konsep pertandingan anjuran JMP Production Sdn Bhd dan Tio Studio dengan kerjasama Anggerik Event ini seakan-akan Battle Of The Bands yang menjadi tumpuan banyak band rock mencari tapak suatu ketika dahulu.

Joe berkata, dia menjanjikan pengalaman seakan-akan konsert sebenar buat mereka yang bertanding.

“Menerusi War Of Band, saya akan mencari protege yang mendapat tunjuk ajar berkaitan bidang seni. Peserta yang berminat perlu mendaftar dengan yuran penyertaan RM300,”katanya.

Dalam pencarian itu, mereka dikumpulkan mengikut zon dan perlu melalui proses saringan iaitu yang pertama di Johor Bahru pada 31 Ogos, kedua di Taman Agro Pelancongan (MAEPS), Serdang pada 16 September dan ketiga di Ipoh pada 1 Oktober.

“Penyertaan dibuka kepada setiap band tanpa mengira had. Sekiranya ada 100 band pun pada setiap saringan, saya akan melakukannya selama dua hari.

“Band yang mengambil bahagian perlu menyanyikan lagu rock kerana ini adalah kepakaran saya. Sekiranya mereka nak menyanyikan lagu pop juga dibenarkan, tapi susunan muzik dan cara penyampaiannya perlulah dalam genre rock,” katanya.

Menurutnya, fokusnya dalam pertandingan ini ialah membentuk band berpotensi yang kemudian dijadikan barisan pelapis dalam industri muzik tempatan.

“Bagaimanapun, saya tak tolak untuk menilai pada potensi individu sama ada penyanyi atau pemuzik. Sekiranya berbakat, apa salahnya saya gilap mereka.

“Kalau boleh saya juga menggalakkan penyertaan band wanita kerana selepas Candy, kita dah tiada lagi pelapis band wanita,” katanya.

Menurut Joe, barisan juri terdiri daripada dia sendiri, pemain gitar terkenal Hillary Ang manakala penyanyi MAY, Mus menjadi juri dalam saringan di Ipoh, manakala di Johor Bahru, Joe akan mengundang pemuzik rock yang berasal dari sana.

Untuk pentas final, Joe dan Hillary juga menjadi juri dan dia bercadang mengundang pemain dram Search, Yazit.

“Jika keadaan kesihatan Yazit kurang baik, saya mungkin menggantikannya dengan pemain dram Wings, Black,” katanya.

Joe berkata, untuk pentas saringan, dia juga merakam video sebagai rujukan bagi menilai peserta.

Pentas akhir War Of Band berlangsung di MAEPS, Serdang pada 12 Oktober depan dan Joe menjanjikan pentas yang hebat seakan-akan konsert besar.

“Untuk final, setiap band diwajibkan membawakan satu lagu Wings yang digubah semula mengikut cita rasa mereka.

“Mereka juga diwajibkan membawa lagu ciptaan sendiri. Saya akan didik mereka betul-betul kerana dari situ mungkin kita dapat lahirkan satu bintang.

“Kita ada banyak artis berbakat, tapi mereka tak diberi peluang untuk tunjuk bakat. Apa yang saya lakukan bertujuan membuktikan industri muzik kita sebenarnya masih okey,” katanya.

Juara War Of Band menerima RM5,000 dan 12 band yang dipilih juga diberi peluang merakamkan lagu dalam album kompilasi terbitan Joe.

Bantu biayai rawatan Yazit Search

Joe turut memperuntukkan RM30 daripada yuran penyertaan band yang bertanding untuk tabung kebajikan Yazit.

Menurut Joe, apa yang dilakukannya bertujuan membantu Yazit kerana tiada siapa yang nak menolongnya.

“Bagaimanapun, kami tidak memberikannya wang tunai sebaliknya membiayai rawatannya di hospital.

“Saya sudah lama kenal Yazit. Sumbangan ini bukan bertujuan nak memalukan anggota Search yang lain. Kami tak pernah masuk campur dalam masalah Search. Tujuan saya jemput Yazit sebagai juri juga adalah untuk berkongsi kepakarannya dengan pemuzik baru,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati menerusi www.tioevent.com/jwwob atau di Facebook joewingsprotege.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:02 AM