ST12 yang ditubuhkan di Bandung, Indonesia pada 2004 ini mungkin antara band yang bernasib baik dan mungkin juga band yang hebat.

Ini kerana hingga hari ini, mereka sudah dua kali menukar vokalis tetapi masih mampu mengekalkan populariti.

Bermula dengan Charly dan popular dengan lagu P.U.S.P.A. Pada 2011 Charly meninggalkan ST12 dan tempatnya digantikan oleh Ridho. Mereka kemudian popular dengan lagu Putih Putih Melati menerusi album Lentera Hati.

Pada Ramadan lalu, Ridho pula meninggalkan mereka dan terbaru menerusi album ini mereka tampil dengan vokalis baru iaitu Dimas.

Menerusi album terbaru yang juga album kelima mereka ini, selain Dimas, ST12 turut dianggotai Pepep (gitar) dan Indra (bass).

Masih mengekalkan muzik pop rock, ST12 juga dikenali dengan muzik yang mereka labelkan sebagai Melayu. Lagunya agak 'meleleh' dan kadang-kadang kedengaran seperti mendayu-dayu.

Di Malaysia, ST12 mungkin boleh dibandingkan dengan band yang pernah popular satu ketika dulu seperti Spoon, Scoin, Sweet Child, Arrow, Axl's, New Boyz dan lain-lain.

Dalam erti kata lain, di Malaysia lagu sebegini, zamannya sudah berakhir.

Entah kenapa, band generasi kedua dan ketiga di Indonesia lebih popular dengan lagu seperti ini. Selain ST12, turut membawakan lagu begini ialah Wali Band, Kangen Band dan banyak lagi.

Yang pasti senario muzik di Indonesia sekarang sudah berubah. Seperti sudah tidak ada band yang muziknya lebih handal seperti Gigi, Naif, Sheila On 7, Slank, Dewa19, Padi, BIP dan Pas Band.

Apapun, dengan muzik sebegini ST12 tetap popular dan memiliki kelompok peminat mereka.

Lagu dalam album ini seperti Ampunanmu, Rock & Roll Cinta, Baby Love, Pendamping Hidup, Bila Ku Cinta, Pe­nyesalan dan Terjemahan Hati pasti boleh menambat hati peminat muzik.

INFO

ARTIS: ST12

ALBUM: Terjemahan Hati

TERBITAN/EDARAN: Rumpun Records/Universal

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:00 AM