Oleh Nor Faizah Mohamed

Kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika sudah menjadi buluh, sukar pula untuk diubah tabiatnya.

Dalam apa jua perkara positif, penerapan nilai murni sentiasa diberikan tumpuan penuh dalam kalangan kanak-kanak.

Bermula dengan si kecil, nilai positif ini diharapkan berkembang hingga dewasa lalu melahirkan masyarakat yang lebih cemerlang dan bermoral.

Bukan sekadar peribadi dan tutur kata berhemah, setiap perlakuan yang baik dalam kehidupan harian juga perlu disemai sejak usia muda.

Atas kesedaran itu, kempen 'Pirate and Princess: Power of Doing Good' Disney Junior diwujudkan bagi memperkenalkan kepada kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun mengenai idea dan nilai cinta terhadap alam semula jadi, haiwan serta semangat saling bantu-membantu sesama sendiri.

Kempen ini juga diharapkan dapat memperkasakan kanak-kanak prasekolah untuk turut serta dalam aktiviti sukarela yang digalakkan oleh ibu bapa dan disokong komuniti.

"Kami mengharap kekuatan cerita dan watak kami boleh memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk membayangkan dunia yang lebih baik serta membantu mereka memahami perkara positif menerusi setiap langkah prihatin terhadap persekitaran juga komuniti.

"Kanak-kanak inilah yang berpotensi melakukan perubahan besar ke arah kehidupan dunia yang lebih baik.

"Kempen 'Power of Doing Good' di Disney Junior ini juga membantu memperkasakan kanak-kanak dan keluarga mereka dengan maklumat serta peluang bekerjasama dengan rakan, keluarga juga masyarakat setempat.

"Kami berterima kasih kepada beberapa rakan kempen kami-WWF (World Wide Fund for Nature), SPCA Singapura dan Selangor serta Majlis Alam Sekitar Singapura di atas sokongan mereka," kata Natasha Malhotra, Pengurus Besar, Branded Media and Content, Walt Disney Company Asia Tenggara.

Watak popular Disney Junior, Jake (dari siri Jake and the Never Land Pirates) dan Sofia (dari siri Sofia the First) mengalu-alukan kanak-kanak Malaysia merasai pengembaraan menarik bagi memperkasakan diri mereka menerusi kempen ini.

Caranya, ibu bapa perlu memuat turun senarai aktiviti menyeronokkan dari laman sesawang www.disneyjuniorpowerofdoinggood.com yang berasas empat tema-Penceritaan, Komuniti, Haiwan dan Alam Sekitar.

Sijil dan lencana penghargaan dalam talian akan diberikan kepada mereka yang berjaya menyempurnakan semua aktiviti.

Selain itu, kanak-kanak dan keluarga mereka berpeluang membuat 'power promises' (janji berbuat baik) secara dalam talian yang boleh dikongsi dengan kanak-kanak lain seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 5:03 AM