Oleh Norul Awatif Romli

Jitra: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperkenalkan konsep baru membabitkan institusi kebajikan dengan menempatkan semua golongan sasar iaitu kanak-kanak, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) bawah satu bumbung dikenali 'De-Institutionalisation’ (DI).

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata selaras konsep baru itu sebuah institusi DI dinamakan sebagai Kompleks Sinar Kasih akan diibina di Nibong Tebal, Pulau Pinang, tahun depan.

Katanya, Kompleks Sinar Kasih (KSK) yang dijangka siap dalam tiga tahun adalah pertama di negara ini dan akan menempatkan kira-kira 100 warga emas dan 50 kanak-kanak dalam satu komuniti.

“KSK bertujuan membolehkan kanak-kanak, warga emas dan OKU kembali bersama dalam persekitaran keluarga apabila mereka berada dalam kelompok komuniti.

"Apabila mereka ini ditempatkan bawah satu bumbung, persekitaran kekeluargaan akan dapat dikekalkan dan kanak-kanak rasa selamat apabila ada orang tua bersama mereka dan orang tua akan berasa 'muda'," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Sambutan Hari Warga Emas dan Hari Kanak-kanak Sedunia peringkat Kebangsaan, di Dewan Wawasan, Jitra, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 6:49 PM