KEMPEN Mari Beramal Bersama Colgate tahun ini sasarkan sumbangan melebihi RM130,000.
KEMPEN Mari Beramal Bersama Colgate tahun ini sasarkan sumbangan melebihi RM130,000.
FYNN (duduk, berbaju merah) beramah mesra dengan kanak-kanak Persatuan Kebajikan Rumah Perlindungan Teratak Nur Insan.
FYNN (duduk, berbaju merah) beramah mesra dengan kanak-kanak Persatuan Kebajikan Rumah Perlindungan Teratak Nur Insan.
Nor Faizah Mohamed


Ramadan sememangnya dinantikan umat Islam seluruh dunia. Hadirnya Ramadan bermakna tibanya bulan penuh keberkatan bagi yang meraikannya.

Munculnya Ramadan ini juga menuntut setiap umat Islam untuk meningkatkan sifat kesabaran dalam diri, bukan setakat menahan lapar dan dahaga malah berwaspada dalam setiap tindakan.

Menjelangnya Ramadan turut mengimarahkan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan khususnya buat golongan memerlukan.

Menjamu anak yatim, fakir miskin dan warga emas pada waktu berbuka puasa menjadi kelaziman dalam masyarakat kita kerana pada bulan inilah ramai berpusu-pusu menambah amalan kebajikan dengan penganjuran pelbagai aktiviti bersama mereka yang memerlukan.

Colgate-Palmolive Malaysia bagaimanapun mengambil langkah lebih proaktif dalam membantu golongan ini khususnya anak yatim dengan mengenal pasti dan memperkasakan bakat generasi muda.

Kempen Mari Beramal Bersama Colgate yang kini di tahun kesembilan penganjurannya menyaksikan matlamat Colgate masih sama.

Kempen ini diwujudkan untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia beramal dan membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Sumbangan daripada pembelian pek amal ubat gigi Colgate sejak dulu memberi semangat dan bantuan kepada kanak-kanak ini untuk berusaha dengan lebih gigih demi masa depan yang lebih baik.

Untuk kempen tahun ini, Colgate akan menyumbang 10 sen dan 20 sen bagi setiap pembelian pek amal ubat gigi tunggal atau pek amal ubat gigi berkembar dalam usaha mencapai sumbangan melebihi RM130,000 yang bermula pada 1 Jun lalu hingga 31 Julai depan.

Dengan sumbangan ini diharapkan dapat memperkasakan lagi kehidupan kanak-kanak daripada 15 rumah anak yatim di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kami ingin mengingat­kan rakyat Malaysia bahawa kita tidak boleh lepas pandang dan mengabaikan kanak-kanak ini. Anak yatim juga berhak menjalani kehidupan dan menerima layan seperti kanak-kanak lain. Mereka perlu diberi peluang yang sama sebagai persediaan menempuhi masa depan yang kian mencabar.

“Kempen ini juga memainkan peranan lebih besar saat tibanya Ramadan. Ini berikutan sumbangan terbabit menjangkau usaha menderma makanan, pakaian, mainan dan pendidikan asas.

“Sebaliknya, sejumlah besar sumbangan itu bermatlamat meningkatkan lagi perkembangan bakat dan kemahiran kanak-kanak ini menerusi program khusus di peringkat sekolah rendah dan menengah,” ujar Pengarah Perundangan Colgate-Palmolive Malaysia Wanazlina Idaham Merican.

Fynn Jamal ceriakan kempen

Kempen Mari Beramal Bersama Colgate tahun ini mendapat bekerjasama daripada penyair, penyanyi dan pejuang hak kanak-kanak, Fynn Jamal yang menghasilkan video kempen bertujuan memberi inspirasi serta galakan kepada rakyat Malaysia untuk terbabit dalam misi ini.

Video kempen itu menampilkan kehidupan seharian kanak-kanak dari Persatuan Kebajikan Rumah Perlindungan Teratak Nur Insan (NURI), apabila Fynn juga mengingatkan penonton sekecil mana pun usaha dan kebaikan yang dilakukan, ia mampu memberi impak yang besar terhadap mereka.

Video kempen itu kini boleh ditonton menerusi laman Facebook Colgate Malaysia dan saluran YouTube.

Bagi memulakan kempen ini, Fynn Jamal dan pasukan Colgate melawat rakan media di pejabat masing-masing untuk program Bergambar dan Menderma.

Setiap gambar yang dimuat naik oleh rakan media pada 26 Mei hingga 9 Jun lalu membolehkan RM25 disumbangkan Colgate.

“Saya harap lebih ramai rakyat Malaysia mengambil peluang ini untuk beramal bersama-sama sepanjang Ramadan, tidak kiralah sekecil mana pun sumbangan itu.

“Walau apa pun perkara yang ingin kita lakukan, jika bermula dengan niat yang ikhlas, perkara itu pasti ada kesannya,” ujar Fynn.

Colgate nyata meletakkan komitmen tinggi dalam menjalankan tanggungjawab sosialnya yang tertumpu kepada bidang kesihatan dan pendidikan.

Antara aktiviti yang diadakan pada tahun sebelumnya termasuk Smiles Bright Colgate dan program Bright Futures yang menyediakan pendidikan penjagaan mulut, selain pengagihan sampel produk kepada 500,000 kanak-kanak sekolah di Malaysia pada setiap tahun.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Pergigian Malaysia dan menyediakan pemeriksaan pergigian percuma, di samping mendidik rakyat Malaysia mengenai kesihatan mulut yang dilakukan pada setiap April.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh layari laman sesawang www.facebook.com/ColgateMY.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 12:44 PM