ANTARA persembahan menarik daripada
ANTARA persembahan menarik daripada
NUR Farhana (dua dari kanan) dan Liew  (kanan) antara 20 peserta CongreZZ Kids 2015 yang menjayakan konsert amal mini di KidZania tahun ini.
NUR Farhana (dua dari kanan) dan Liew (kanan) antara 20 peserta CongreZZ Kids 2015 yang menjayakan konsert amal mini di KidZania tahun ini.
ANTARA persembahan menarik daripada peserta program CongreZZ Kids 2015.
ANTARA persembahan menarik daripada peserta program CongreZZ Kids 2015.
PERSEMBAHAN muzik antara yang menjadi tumpuan pada konsert amal mini CongreZZ Kids 2015.
PERSEMBAHAN muzik antara yang menjadi tumpuan pada konsert amal mini CongreZZ Kids 2015.
PESERTA program CongreZZ Kids meraikan kejayaan projek tahun ini bersama Gabenor KidZania KL & Singapura Suzanah Abd Rani (duduk depan, dua dari kanan), Shahrul Nizar (duduk depan, kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Themed Attractions Resorts & Hotels Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin (duduk depan, dua dari kiri).
PESERTA program CongreZZ Kids meraikan kejayaan projek tahun ini bersama Gabenor KidZania KL & Singapura Suzanah Abd Rani (duduk depan, dua dari kanan), Shahrul Nizar (duduk depan, kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan Themed Attractions Resorts & Hotels Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin (duduk depan, dua dari kiri).
Oleh Nor Faizah Mohamed


Kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika sudah menjadi buluh, sukar pula untuk diubah tabiatnya.

Dalam apa jua perkara positif, penerapan nilai murni sentiasa diberikan tumpuan penuh dalam kalangan kanak-kanak.

Bermula dengan si kecil, nilai positif ini diharapkan berkembang hingga dewasa lalu melahirkan masyarakat yang lebih cemerlang dan bermoral.

Bukan sekadar peribadi dan tutur kata berhemah, setiap perlakuan yang baik dalam kehidupan harian juga perlu disemai sejak usia muda.

Begitu juga pada pelan tindak-tanduk dalam membuat keputusan. Kanak-kanak tidak sepatutnya diketepikan dalam menentukan sesuatu perkara besar kerana kadangkala idea si kecil lebih menarik dan efektif dari segi pelaksanaannya.

Seperti apa yang dilihat pada sekumpulan kanak-kanak ini, fizikal yang kecil dan tiada pengalaman langsung tidak mematahkan semangat mereka untuk mengendalikan konsert besar.

Dikenali sebagai ahli KidZania CongreZZ, 20 kanak-kanak berusia tujuh ke 12 tahun diberi tanggungjawab merancang dan mengendalikan projek sama seperti apa yang dilakukan golongan dewasa.

Bagi kumpulan KidZania CongreZZ tahun ini, mereka diberi tugasan merangka, menguruskan dan melaksanakan konsert amal mini yang turut menjadi platform mengumpul dana untuk rumah kebajikan.

Dengan bimbingan pasukan KidZania Kuala Lumpur, peserta CongreZZ Kids ini mempamerkan kebolehan mereka dalam mengembang dan memanfaatkan kemahiran hidup seperti penyelesaian masalah serta pemikiran kritis, di samping memupuk semangat berpasukan sepanjang mengendalikan konsert terbabit.

Menurut Datuk Bandar Kidzania Shahrul Nizar Ahmad, program seperti CongreZZ Kids ini diwujudkan sebagai langkah awal dalam memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai aspek tanggungjawab dan kerjasama antara rakan sebaya serta golongan dewasa.

“KidZania itu sendiri dicipta untuk memberi pengalaman kerja dan mendedahkan kanak-kanak kepada dunia realiti.

“Justeru dengan adanya program CongreZZ Kids, ia boleh disifatkan sebagai usaha memperkasakan kanak-kanak dan memberi nilai tambah kepada perkembangan idea, mental, fizikal dan kreativiti kanak-kanak agar mereka mendapat sedikit ilmu serta nilai penting dalam dunia sebenar.

“Peserta CongreZZ Kids ini diberi pendedahan mengenai tanggungjawab untuk mengendalikan sesebuah komuniti.

“Kanak-kanak zaman ini mempunyai keupayaan dan kesungguhan tinggi, jadi kita sebagai golongan dewasa khususnya ibu bapa perlulah memberi peluang kepada mereka untuk melakukan sesuatu yang selama ini dianggap mustahil.

“Dengan sedikit bantuan dan bimbingan, mereka berjaya melaksanakannya malah ia lebih baik daripada apa yang disasarkan.

“Apabila kanak-kanak ini diberi tanggungjawab berserta bimbingan dan nasihat, mereka akan mempelajari skil kehidupan seperti kepemimpinan dan semangat berpasukan.

“Keyakinan diri mereka juga akan bertambah, di samping menyerlahkan keupayaan semula jadi mereka.

“Kesimpulannya, program ini cara terbaik untuk membantu mereka menerokai kehidupan seiring moto kami - Learn Life Today dengan menjalani aktiviti orang dewasa dalam persekitaran yang selamat, bermanfaat dan positif,” katanya.

Kongsi idea dengan rakan sebaya

Bagi Liew Mindy, 11, program CongreZZ Kids ini banyak membantunya berkongsi idea bersama rakan sebaya.

“Saya gemar bercakap dan bercerita mengenai idea atau isu terkini membabitkan rakan seusia. Tetapi tidak ramai pula yang ingin mendengar atau memberi tindak balas dengan apa yang cuba saya sampaikan.

“Jadi dengan adanya program ini, saya dapat berkongsi minat dengan yang lain walaupun kami berbeza usia, bangsa dan latar belakang keluarga.

“Program ini juga mengajar saya untuk lebih bersabar dan memahami personaliti orang lain. Pada golongan dewasa, kami mungkin masih kanak-kanak, tetapi kami sebenarnya mampu galas tanggungjawab besar jika diberi peluang dan ruang,” katanya yang turut bertindak sebagai pengacara majlis bagi konsert mini itu.

Nur Farhana Haszmi, 10, pula menyifatkan pembabitannya dalam program CongreZZ Kids ini sebagai peluang untuk menambah kenalan.

“Saya suka dikelilingi rakan dan melakukan aktiviti bersama. Apabila terpilih menyertai program ini, saya bukan saja dapat menghabiskan masa lapang dengan mereka malah kami dapat lakukan aktiviti berfaedah.

“Untuk konsert ini, kami habiskan masa lebih dua bulan untuk merancang, berlatih dan menyediakan peralatan. Memang penat, tetapi kami gembira dengan hasil keseluruhannya,” ujarnya.

Konsert amal mini itu menampilkan pementasan pendek dan pelbagai persembahan tarian yang dicipta sendiri oleh peserta CongreZZ Kids bagi menghiburkan ibu bapa, penjaga dan kanak-kanak dari dua rumah kebajikan terpilih.

Selain persembahan daripada CongreZZ Kids, penonton turut menyaksikan aksi menarik daripada KidZania Kuala Lumpur Artistic Team, disusuli penyampaian cek bernilai RM2,000 kepada Lighthouse Welfare Home dan Asrama Penyayang Nur Iman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 12:02 PM