PRESIDEN Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (PERKASA), Mohd Noor Yusoff (tiga kanan) bersama Timbalan Presiden PERKASA, Mohd Asri Seman (kiri), Setiausaha PERKASA, Saiful Azmi Yusof (dua kanan) dan Pegawai Khas Presiden PERKASA, Mohd Nasir Yusof melihat buku mesyuarat Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia ke-27 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Hayati Ibrahim

Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersedia untuk dikorporatkan, dan langkah itu dipercayai dapat memberi keuntungan lebih besar kepada kerajaan.

Presiden Persatuan Pegawai Kastam Kanan Malaysia (Perkasa) Mohd Noor Yusoff berkata, melalui pengkorporatan itu juga, ia mampu mengekang ketirisan sekali gus mampu meningkatkan jumlah pungutan hasil untuk negara.

"Rundingan untuk merealisasikan usaha ini sudah dilaksanakan sebelum ini, malah beberapa isu berkaitan sudah diselesaikan, jadi kita sudah bersedia untuk dikorporatkan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Sudah sampai masanya untuk kita meningkatkan tahap kecemerlangan sama ada dari segi pungutan hasil dan penguatkuasaan," katanya pada sidang media ketika menghadiri Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Perkasa ke-27 di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika berucap pada Hari Kastam Sedunia Ke-32 di Johor Bharu, Johor pada Januari 2014 memaklumkan kerajaan akan membuat kajian terperinci mengenai kesesuaian pengkorporatan JKDM, bagi menambah baik fungsi jabatan itu.

Kajian itu meliputi pelbagai perkara, termasuk isu kelayakan dan perjawatan dalam JKDM.

Sehubungan itu, Mohd Yusof berkata, jabatan itu berharap Perdana Menteri mengotakan janji beliau berhubung pengkorporatan itu dan pihaknya sudah menyiapkan terma perkhidmatan hasil daripada rundingan yang dilakukan sebelum ini.

Selain itu, beliau berkata, JDKM juga berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menempatkan pegawai kastam sendiri untuk mengetahui jabatan itu sebagai Ketua Pengarah, dan bukan lagi terdiri daripada Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 2:08 PM