MOHD Noor   (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Pusat Perkhidmatan E-GST di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,   semalam.
MOHD Noor (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Pusat Perkhidmatan E-GST di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kelana Jaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) masih memburu 20,000 peniaga yang belum mendaftarkan perniagaan mereka dengan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia (PERKASA) Mohd Noor Yusoff berkata, setakat ini, terdapat 380,000 peniaga yang berdaftar dengan sistem GST dan pihaknya menyasarkan 400,000 peniaga berdaftar dengan sistem itu menjelang akhir tahun ini.

Katanya, pihaknya akan menggunakan pelbagai cara untuk memastikan peniaga berdaftar dengan sistem percukaian baru diperkenalkan sejak 1 April lalu.

“Kita akan menggunakan kaedah penyamaran dengan pegawai kastam akan membeli di kedai terpilih dan memeriksa status perniagaan mereka adakah berdaftar dengan GST, menggunakan invois dan mengenakan caj yang betul atau sebaliknya.

“Operasi GST juga bermula di Pulau Pinang dan mereka yang belum mendaftar diberi teguran serta diminta menjawabnya dalam tempoh tiga hari.

“Jika gagal mendaftarkan perniagaan selepas itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 184 Akta GST 2014 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara dua tahun,” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran dan Perasmian Pusat Perkhidmatan E-GST di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Menurutnya, antara bentuk perniagaan masih banyak belum mendaftar dengan GST ialah sektor perusahaan kecil dan sederhana, perniagaan runcit serta restoran.

Katanya, ada peniaga belum memahami pelaksanaan GST yang mengenakan cukai enam peratus terhadap barangan dijual selain menggunakan resit tulisan tangan dalam transaksi.

Mohd Noor yang juga Timbalan Pengarah Kastam Kedah berkata, bagi memastikan sistem pengiraan GST lebih teratur dan telus, pihaknya mengesyorkan peniaga terbabit menggunakan mesin niaga ‘Point of Sales’ (POS) diiktiraf JKDM yang memuatkan sistem kiraan GST.

“Penggunaan mesin mesra peniaga dengan sistem GST ini memudahkan mereka membuat kiraan selepas jualan tanpa bersusah payah mengira semula apabila akaun harian ditutup.

“Secara undang-undang, kita tidak memaksa peniaga menggunakan mesin POS, tetapi menggalakkan kerana ia lebih sistematik, telus dan menjimatkan masa selain mengelak penipuan pihak peniaga dan pembeli sebelum diisytiharkan kepada kastam,” katanya.

Beliau berkata, PERKASA yang bekerjasama dengan Mobipay Solution Sdn Bhd membangunkan mesin POS akan membuka 30 pusat perniagaan itu di Lembah Klang untuk membantu peniaga mendapatkan mesin mengira GST dalam perniagaan mereka dengan mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 9:09 AM