RUSLYANA   menerima ciuman daripada ibunya sambil diperhatikan bapa dan abangnya ketika Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015 di AKMAL Bukit Baru.
RUSLYANA menerima ciuman daripada ibunya sambil diperhatikan bapa dan abangnya ketika Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Penguatkuasa Kastam Gred W41 Siri 4/2015 di AKMAL Bukit Baru.

Melaka: Lebih RM30 bilion hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikutip Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak diperkenalkan kerajaan pada 1 April lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM, Datuk Matrang Suhaili berkata, peningkatan itu dibantu tahap pemahaman dan kesedaran masyarakat mengenai GST.

“Kejayaan JKDM itu menunjukkan pelaksanaan GST di negara ini berjalan lancar, malah jumlah pungutan yang diperoleh tidak dijangka.

“Jumlah sebenar kutipan GST tidak dapat didedahkan, kami yakin sasaran kutipan tahun depan akan diletak pada angka yang lebih tinggi,” katanya yang ditemui selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Penguasa Kastam Gred W41 siri 4 2015, di Akademi Kastam Malaysia (AKMAL), Bukit Baru, di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 250 pegawai baru Kastam menerima sijil tamat latihan Kursus Asas Penguasa Kastam Gred W41 yang membabitkan 127 lelaki dan 123 wanita.

Matrang berkata, peserta kursus perlu menamatkan latihan selama lapan minggu di AKMAL yang membabitkan kawad kaki, latihan padang, kerohanian serta amalan lengkap untuk menjadi pegawai kerajaan berintegriti.

Beliau berkata, pengambilan kali ini adalah bagi mengisi kekosongan di bahagian GST yang kini mempunyai 1,000 pegawai dan anggota penguat kuasa di seluruh negara.

Sementara itu, peserta terbaik keseluruhan kursus, Ruslyana Farahana Ruslee, 25, berkata, dia mendapat pelbagai pengalaman yang amat berguna untuk menjalankan tugas sebagai seorang pegawai kerajaan selepas ini.

Graduan Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, apa yang menarik dia turut mempelajari kaedah mengawal emosi dan mental menerusi latihan yang dilaluinya.

“Sebelum ini, saya tidak tahu berenang namun kini berjaya menguasai kemahiran itu melalui tunjuk ajar yang diberikan oleh jurulatih sepanjang berada di AKMAL,” katanya.

Selain diumumkan sebagai peserta terbaik keseluruhan kursus, Ruslyana turut dianugerahi sebagai pemenang terbaik wanita dan peserta terbaik Kokurikulum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:57 AM