Hayati Ibrahim

Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 10.7 kilogram (kg) dadah bernilai RM749,000 dan menahan dua wanita warga India, Isnin lalu dalam dua kes berasingan.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Hamzah Sundang berkata, bagi kes pertama seorang wanita berusia 51 tahun dari India ditahan pegawai JKDM KLIA pada jam 7.45 pagi selepas imbasan terhadap bagasi yang dibawa mencurigakan.

Katanya, hasil imbasan dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat serbuk putih disyaki Methamphetamine (syabu) disorok di bahagian bawah lapisan beg seberat 5.35 kg bernilai RM374,500.

"Kes kedua juga membabitkan seorang wanita warga India berusia 57 tahun yang menaiki pesawat sama dengan wanita pertama dari Chennai, India ke KLIA, selain jumlah berat dadah yang dibawa juga adalah sama.

"Kami syaki kedua-dua wanita ini membabitkan sindiket sama kerana kuantiti dadah yang dibawa sama, warna beg yang dibawa juga hampir sama," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini, hari ini.

Hamzah berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua mereka sudah beberapa kali berulang alik dari India ke Kuala Lumpur.

"Siasatan juga mendapati dadah yang dirampas untuk pasaran Malaysia dan bukan untuk ditransit ke negara lain,"katanya.

Selain itu, Hamzah berkata, JKDM KLIA turut berjaya memperoleh lima kes membabitkan kesalahan import eksport dan keperluan mengikrar mata wang bernilai hampir setengah juta bulan ini.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 11:04 AM
Hamzah (dua dari kanan) menunjukkan bagasi yang disorokkan dadah jenis Methamphetamine. FOTO Hayati Ibrahim
Hamzah (dua dari kanan) menunjukkan bagasi yang disorokkan dadah jenis Methamphetamine. FOTO Hayati Ibrahim