IRWAN Serigar menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Komander Agensi Kawalan Sempadan Kelantan Mohd Asri Yahya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
IRWAN Serigar menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Komander Agensi Kawalan Sempadan Kelantan Mohd Asri Yahya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Kerajaan sedang mengkaji untuk mengkoporatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) agar ia dapat menjadi satu agensi yang lebih baik dan efisien.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, bagaimanapun langkah itu masih dalam peringkat perbincangan dan memerlukan kajian yang mendalam.

Katanya, walaupun ia menjadi hasrat utama kerajaan, namun cadangan serta penerimaan warga JKDM amat penting dalam perkara itu.

"Kita mahu Kastam lebih efisien sama seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menyumbangkan hasil yang tinggi kepada negara selepas dikorporatkan.

"LHDN sudah melaksanakan tugas yang lebih baik berbanding sebelum ini dan kita harap perkara sama akan berlaku pada Kastam jika semua pegawai dan anggotanya bersetuju untuk dikorporatkan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Kota Darul Naim di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Faudzi Che Mamat dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia Bahagian Perkastaman dan GST Datuk Zulkifli Yahya.

Beliau berkata, JKDM kini dalam landasan yang tepat untuk mencapai hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM42 bilion setahun.

Katanya, tahun lalu JKDM sudah mencapai sasaran kutipan GST yang ditetapkan iaitu sebanyak RM41 bilion.

"Bermula Januari lalu hingga hari ini, JKDM sudah berjaya mengutip GST sebanyak RM13.7 bilion dan kita yakin ia mampu mencapai sasaran itu malah mungkin lebih seperti yang sudah disasarkan.

"Kutipan ini sedikit sebanyak dapat mengembangkan lagi pendapatan negara dan ia dapat melaksanakan projek yang sudah dirancang oleh kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 12:43 AM