MOHAMAD Syukri menyerahkan sumbangan persalinan hari raya. FOTO ihsan PERKASA Putrajaya
MOHAMAD Syukri menyerahkan sumbangan persalinan hari raya. FOTO ihsan PERKASA Putrajaya
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia Cawangan Putrajaya (PERKASA Putrajaya) meraikan anak-anak yatim, anak istimewa dan anak menghidap penyakit kronik di Jakel Ostia Bangi, baru-baru ini.

Menerusi program Welfare Outreach PERKASA Putrajaya itu, seramai 30 anak-anak diberikan kesempatan memilih sepersalinan pakaian baharu, songkok dan tudung bersempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia Cawangan Putrajaya, Mohamad Syukri Othman berkata, kanak-kanak terbabit terdiri daripada anak-anak warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Ibu Pejabat serta anak-anak warga Putrajaya.

"Anak-anak yang diraikan sangat teruja apabila dapat memilih sendiri pakaian yang diinginkan mengikut pilihan warna kegemaran mereka. Pelbagai reaksi menarik serta celoteh comel anak-anak membuatkan Barisan Exco PERKASA Putrajaya semakin bersemangat mencapai objektif program ini dengan menjalankan tanggungjawab sosial sebagai penjawat awam kepada warga JKDM serta orang awam.

"Dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai penjawat awam di agensi beruniform, JKDM dilihat utuh dan tegas dalam menguatkuasakan kawalan sempadan, mengutip hasil cukai tidak langsung untuk negara serta memberi fasilitasi kepada golongan peniaga di dalam serta di luar Malaysia. Sungguhpun begitu, pegawai kastam masih mampu menjalankan tanggungjawab sosial demi menyejahterakan rakyat dengan turut sama membantu orang awam di bulan Ramadan yang penuh bermakna ini," katanya.

Menurutnya, PERKASA Putrajaya amat bersyukur dan berbesar hati dapat menganjurkan program seumpama itu dengan kerjasama Surau Al-Amin, JKDM Ibu Pejabat untuk berkongsi rezeki serta menggembirakan hati anak-anak yang diraikan.

"Jelas terpancar kegembiraan di wajah masing-masing bersama persalinan baju raya yang dipilih dan sumbangan duit raya dalam program ini.

"Semoga kedatangan Syawal disambut meriah buat anak-anak yatim, anak istimewa dan anak menghidap penyakit kronik serta buat semua umat Islam tidak kira di mana berada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 2:59 PM