IFA bersama ahli Bintang.
IFA bersama ahli Bintang.
Nor Akmar Samudin


Tak peduli apa orang kata mengenainya, Ifa Raziah terus bersikap positif dalam usahanya untuk mengangkat martabat lagu dangdut menerusi Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (Bintang) yang ditubuhkan Mei lalu.

Ifa yang juga presiden persatuan itu berkata, jika dia terus mendengar cakap -cakap orang, kerjanya tak akan berjalan dan segala perancangan akan terbengkalai begitu saja.

“Saya maafkan saja orang yang berkata buruk mengenai saya kerana saya pun ada salah silap di sana sini. Bagaimanapun, saya ikhlas untuk memperjuangkan irama dangdut dan nasib rakan artis seangkatan saya.

“Apa yang saya buat tidak mengharapkan balasan asal saja dapat mengembalikan kegemilangan dangdut sebagaimana gahnya irama itu 20 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka persatuan itu, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah RTM Datuk Adilah Shek Omar.

Menurut Ifa, setakat ini Bintang memiliki 27 ahli dan ia sudah cukup untuk mereka menggerakkan persatuan itu.

“Ini adalah majlis ketiga persatuan anjurkan dan saya bersyukur kerana apa saja yang kami lakukan mendapat sokongan dan penajaan pelbagai pihak,” katanya.

Menurut Ifa, antara perancangan mereka ialah memastikan lagu dangdut akan ke udara di semua saluran radio dan disiarkan dalam program televisyen.

Pada Ramadan dan Syawal lalu, mereka merakamkan lagu berjudul Dangdut Lebaran ciptaan Pak Ngah dan ia kerap dimainkan di stesen radio yang sebelum ini agak keberatan memainkan lagu dangdut.

“Ini satu kejayaan buat persatuan yang baru saja beberapa bulan ditubuhkan. Sejak ditubuhkan, semua penyanyi dangdut bersatu di bawahnya dan banyak perkara baik berlaku.

“Kami juga membuka keahlian kepada penyanyi dangdut di Singapura yang dinamakan sebagai Bintang Bersekutu.

“Diharap dengan jalinan persahabatan atas nama seni itu ia memberi kebaikan kepada semua pihak dan banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama,” katanya.

Ifa berkata, mereka juga merancang mengadakan konsert dangdut penghujung tahun ini.

“Kami sedang berusaha untuk menjadikan ia kenyataan demi mengangkat semula kehebatan lagu dangdut yang semenangnya masih diminati ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 10:54 AM