KEMESRAAN Ifa, Amelina bukti mereka tidak bertelagah seperti didakwa.
KEMESRAAN Ifa, Amelina bukti mereka tidak bertelagah seperti didakwa.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Kecoh apabila dua penyanyi yang mempelopori muzik dangdut, Ifa Raziah dan Amelina dikatakan bertelagah gara-gara kenyataan Ifa mengenai keputusan Amelina untuk kembali aktif, baru-baru ini.

Dalam kenyataan disiarkan satu laman portal hiburan, Ifa atau Saripah Raziah Mustapha, 40, mengatakan tidak terkesan dengan kemunculan semula Amelina di persada hiburan tanah air.

Malah, Ifa mengatakan dia tidak nampak apa-apa yang baru dikeluarkan Amelina walaupun penyanyi itu kini membuat kemunculan semula.

Kenyataan Ifa menyebabkan dia dikritik ramai. Ada mengatakan Ifa rasa terkesan atau tercabar apabila Amelina, yang lebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi dangdut pada pertengahan 1990-an dan mendapat jolokan Ratu Dangdut Malaysia, mahu kembali aktif.

Ifa yang mula mencipta nama menerusi lagu Ser Ser Ser menjelaskan, apa ditulis dan disiarkan laman portal hiburan itu bukan seperti apa yang dinyatakannya.

Kata Ifa, dia tidak berkesempatan untuk menjelaskan apa sebenarnya yang dinyatakan sewaktu ditemubual wakil media dari portal hiburan terbabit kepada Amelina.

Cubaan Selebriti Metro Ahad untuk mempertemukan dua selebriti ini, sekali gus menjernihkan suasana yang kurang enak antara mereka, menjadi kenyataan baru-baru ini.

Peluang ini datang apabila produk kecantikan yang sebelum ini banyak mengubah imej dan bentuk tubuh Amelina, Oriderm Spa, bersedia menerima kunjungan mereka berdua di Bandar Puteri, Puchong.

Kebetulan Ifa sedang mencari spa kecantikan yang mampu membantunya menurunkan berat badan dan membentuk kembali keanjalan tubuhnya yang berubah selepas pengambilan ubat selepas pembedahan disebabkan jangkitan paru-paru.

Ifa juga akui pernah mencuba menggunakan produk kecantikan mereka sebelum ini. Melihat perubahan dialami Amelina selepas mendapatkan rawatan di sana sejak kembali aktif membuatkan hatinya turut berbunga untuk mencuba.

Menariknya apabila Amelina yang turut menjadi jurucakap mereka, sungguh bersemangat menerangkan kepada Ifa, sekali gus menjadi detik pertemuan dua sahabat ini selepas hampir 15 tahun tidak bertemu dan bertanya khabar.

Sepanjang pertemuan itu, pelbagai cerita dikongsi Ifa dan Amelina. Sesekali mereka ketawa dan sesekali menangis bersama. Paling penting, mereka tahu apa yang berlaku dan segala salah faham yang timbul susulan kenyataan disiarkan itu dapat dijelaskan.

Kata Ifa, sebaik kenyataan itu disiarkan portal terbabit, dia berkesempatan bertemu Amelina sewaktu menjayakan Jom Singgah disiarkan TV3. Bagaimanapun, waktu itu kerana sibuk dan terikat dengan jadual, mereka tidak bersempatan bercerita panjang.

“Hari ini saya berpeluang bertemu Amelina dan saya mahu jelaskan apa yang saya katakan kepada wartawan itu. Apa yang saya nyatakan waktu itu, apabila Amelina menghilang dari industri hiburan tempatan, saya mahupun penyanyi lain tetap meneruskan kerjaya seni kami kerana ini periuk nasi kami.

“Dalam tempoh 15 tahun ini, saya lakukan pelbagai perkara, bukan saja menghasilkan lagu dangdut tetapi juga irama lain. Saya kembangkan bakat dalam bidang pengacaraan dan lakonan. Untuk hidup, saya harus mengimbangkan bakat dalam cabang lain,” katanya.

Kata Ifa, dia dapat mengesan wartawan itu mahu melakukan provokasi apabila bertanya sama ada dia terkesan, tercabar atau tergugat dengan kehadiran Amelina.

“Memang saya dapat rasakan niatnya seolah-olah mahu saya menyatakan sesuatu yang negatif. Saya katakan, sebagai penggiat seni, saya mahu melihat sambutan peminat dengan kehadiran semula Amelina.

“Saya juga katakan turut menantikan lagu terbaru daripada Amelina. Bagaimanapun, apabila keluar, artikel itu menunjukkan seakan-akan saya memburukkan rakan seangkatan.

“Bagi saya, negatif bagaimanapun pandangan orang terhadap artikel disiarkan, saya sentiasa melihatnya dari sudut positif. Disebabkan ia menjadi isu, ramai memberi tumpuan kepada Amelina mahupun saya. Nama kami tiba-tiba jadi sebutan,” katanya yang turut menjadi sebutan ketika menyertai program Gegar Vaganza, baru-baru ini.

Amelina pula secara peribadi mengakui tidak ambil pusing apabila kenyataan Ifa cuba dijadikan isu dan dilihat bertujuan melaga-lagakan mereka berdua.

“Seperti saya tegaskan sebelum ini, saya kembali menyanyi bukan kerana mahu popular dan glamor, sebaliknya niat hati mahu mencari rezeki untuk menyara enam anak yang sedang membesar.

“Saya turut nyatakan kepada Ifa, dia mungkin boleh terima apabila perkara itu menjadi isu, tetapi saya pula secara peribadi kalau boleh mahu mengelak sebarang isu dan kontroversi. Sebagai kawan, dia faham apa yang saya maksudkan.

“Apapun, saya gembira apabila hari ini saya berpeluang bertemu dengannya. Banyak perkara yang dapat kami bualkan. Dari zaman mula kenal sampailah kami hilang tidak bertemu selama 15 tahun. Lebih penting, kami berdua dapat berkongsi rahsia kecantikan masing-masing,” katanya.

Kata Amelina, dia bertuah apabila ditawarkan menjalani rawatan kecantikan bagi memulihkan kembali keadaan kulit yang kusam dan mengurangkan berat badan berlebihan.

“Sewaktu mahu kembali aktif, saya menghadap masalah berat badan dan waktu sama kerana sekian lama tidak membuat rawatan, kulit menjadi kusam.

“Spa ini mempunyai kelengkapan untuk mengatasi masalah saya dari merawat kulit wajah, mengurangkan berat badan, memperbaiki kulit yang kehilangan keanjalan hinggalah urutan.

“Selain itu, mereka yang datang mendapatkan rawatan di sini turut diberi minuman kesihatan iaitu Cefelicious Colagen dan Cafelicious Slimms,” katanya.

Amelina mengatakan, masalah berat badan Ifa yang naik secara tiba-tiba selepas menjalani rawatan di hospital bukan masalah besar kerana boleh diselesaikan Oridem Spa.

“Saya memberi semangat kepada Ifa yang mahu tampil kurus untuk muncul pada malam Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH2014) yang bakal berlangsung pada 5 April depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:02 AM