IFA dan Lawa Nie Gang pada pelancaran single Terus Terang.
IFA dan Lawa Nie Gang pada pelancaran single Terus Terang.
Michelle Gun


Hampir setahun menanti, hasrat penyanyi versatil Ifa Raziah untuk tampil dengan produk baru berjaya direalisasikan menerusi single duet Terus Terang bersama kumpulan Lawa Nie Geng.

Penyanyi dangdut yang popular dengan lagu Ser Ser Ser itu berkata, dia terpaksa menunggu giliran berikutan Sony Music Malaysia perlu menguruskan artis naungan yang lain.

“Sudah beberapa kali single ini tertangguh kerana beberapa artis tempatan dan luar negara dalam senarai Sony perlu diuruskan terlebih dahulu.

“Syukur akhirnya lagu ini berjaya dilancarkan selepas menyiapkan proses rakaman dan mastering sekitar pertengahan tahun ini,” katanya.

Mengangap Terus Terang sebagai hadiah ulang tahunnya ke-41, Ifa berkata, single ciptaan komposert terkenal DJ Fuzz itu akan dipasarkan di Australia dan Indonesia.

“Bagi pendengar di Australia, lirik akan diterjemah kepada bahasa Inggeris dan saya akan berkolaborasi dengan penyanyi rap negara itu.

“Begitu juga apabila single ini dipromosi di Indonesia pada Oktober ini, beberapa perkataan akan diubah mengikut kesesuaian,” katanya pada Majlis Pelancaran Terus Terang, Khamis lalu.

Ujar Ifa, Sony Music Austalia mahu memperkenalkan irama dangdut di Austalia dan Terus Terang menjadi pilihan.

“Versi Inggeris akan dipromosikan di Australia pada awal tahun depan. Semoga apa yang dirancangkan dipermudahkan Ilahi,” katanya.

Harap single diputarkan stesen radio

Sementara itu, Ifa berminat berkolaborasi dengan DJ Fuzz selepas melihat beberapa lagu ciptaan komposer itu mendapat sambutan hangat.

“Sebelum mencari material untuk single, saya buat kajian cita rasa pendengar muzik masa kini.

“Kebetulan beberapa lagu menjadi siualan ramai antaran Hantu Atau Buaya dan Aduh Aduh Sayang dihasilkan DJ Fuzz.

“Ini membuatkan saya yakin dengan kebolehan DJ Fuzz dan menghubunginya untuk menghasilkan sebuah single,” katanya.

Menurut Ifa, single Terus Terang masih mengekalkan irama dangdut dan turut diselitkan elemen segar agar sesuai untuk semua pendengar.

“Pada mulanya, DJ Fuzz mengakui kurang mahir mencipta lagu dangdut dan saya meminta dia menghasil­kan lagu sesuai untuk saya.

“Lagu ini terpaksa dirakam dua kali kerana tidak puas hati dengan hasil pertama. Pun begitu, saya sangat berpuas hati dengan hasil single Terus Terang,” katanya.

Dalam pada itu, Ifa meletakkan harapan tinggi agar single Terus Terang dapat diputarkan di semua stesen radio tempatan.

“Saya mendapati kebelakangan ini ada stesen radio mula menerima lagu dangdut kerana ada permintaan tinggi daripada pendengar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 10:30 AM