IFA bersama lima artis lain bakal beraksi.
IFA bersama lima artis lain bakal beraksi.
Nursyahirah Marzuki


Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (Bintang) bakal membuat persembahan di pentas antarabangsa bagi meluaskan perjalanan persatuan itu sekali gus memartabatkan irama dangdut Malaysia.

Presidennya Ifa Raziah berkata, pihaknya bangga dan terharu dengan undangan daripada pihak Indonesia yang menjemput ahli Bintang untuk membuat persembahan di negara itu.

“Alhamdulillah, buat pertama kalinya di bawah persatuan ini, kita menerima jemputan daripada pihak luar dan ini adalah peluang kepada kami untuk membuat persembahan secara berkumpulan di pentas yang lebih tinggi.

“Kami berenam akan membuat persembahan di dua lokasi iaitu di program realiti dangdut Indonesia, D’Academy Asia 2016 dan Indonesia Dangdut Awards pada awal November ini,” katanya.

Katanya, artis yang akan turut menyertainya untuk membuat persembahan di sana ialah Sheeda, Ani Mayuni, Haiza, Linda Eva dan Ieda Moin.

Menurutnya, pelbagai program dan aktiviti yang dirancang untuk persatuan di bawah naungannya bagi menyemarakkan lagi irama dangdut Malaysia yang sudah bertapak selama 20 tahun di industri muzik tanah air.

“Selain itu, Bintang juga dalam perancangan mengadakan konsert Mega Bintang Dangdut di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada awal tahun hadapan dan sekiranya semua berjalan lancar, paling lewat diadakan pada Mac.

“Konsert ini akan diadakan selama dua malam yang menampilkan artis dangdut di bawah satu bumbung untuk meng­angkat semula irama dangdut di pentas yang lebih tinggi dan ini adalah impian kami,” katanya.

Dalam pada itu, Ifa berkata, dia sangat bertuah dan gembira apabila single Terus Terang akan dirakam semula bersama penyanyi rap seberang supaya ia sesuai dengan industri muzik di Indonesia.

“Ini adalah rezeki daripada Allah yang membuka peluang dan ruang kepada saya untuk melebarkan lagi sayap di peringkat lebih tinggi, malah saya berharap single terbaru ini dapat diterima masyarakat di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 12:46 PM