IFA anggap menari gelek bukan isu besar kerana dijemput buat persembahan.
IFA anggap menari gelek bukan isu besar kerana dijemput buat persembahan.
 IFA mempertahankan tindakannya menari gelek.
IFA mempertahankan tindakannya menari gelek.
Sudirman Mohd Tahir


ARTIS serba boleh popular, Ifa Raziah kembali mencetuskan kontroversi susulan tular video dia bergelek pada majlis akikah, baru-baru ini.

Tindakan Ifa, 47, atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha itu menimbulkan kritikan dalam kalangan netizen yang menyifatkan Ifa tidak menghormati majlis selain menganggap tariannya itu keterlaluan.

Ifa berkata, ada dua acara dalam majlis yang menjemputnya itu iaitu akikah dan sambutan ulang tahun perkahwinan.

"Saya adalah penyanyi dangdut. Jadi, sebagai penyanyi dangdut apa yang saya kena buat ialah menyanyi, menghiburkan dan bergelek. Selama ini gelek yang beri saya makan.

"Akikah pada awal majlis iaitu ketika Maghrib sampai Isyak. Selesai akikah acara ulang tahun perkahwinan pula. Saya bergelek selepas persembahan penyanyi, Liza Hanim. Kami buat persembahan sempena ulang tahun perkahwinan pihak yang menjemput saya.

"Saya pula penyanyi dangdut. Awak nak suruh nyanyi dangdut berdiri tegak ke? Selama 27 tahun menjadi penyanyi, gelek saya itu yang beri saya makan. Kalau saya tak bergelek siapa nak panggil saya buat persembahan," katanya.

Justeru, Ifa menganggap tindakan menari gelek itu bukan isu besar memandangkan dia dijemput dan dibayar puluhan ribu untuk menjayakan persembahan pada majlis itu.

"Orang bayar saya puluhan ribu untuk menyanyi. Ini cara saya cari makan. Salahkah saya? Bukan saya berkelakuan tidak senonoh dan keterlaluan. Di Instagram saya boleh tengok video penuh. Jadi, anda nilai sendiri," katanya.

TANGKAP layar video Ifa bergelek pada majlis akikah, baru-baru ini.
TANGKAP layar video Ifa bergelek pada majlis akikah, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Ifa yang juga penyanyi lagu Ser Ser Ser bakal bersaing merebut juara pada program terbaharu TV3, Terpaling Juara.

Ifa yang dicungkil bakatnya menerusi program Asia Bagus terbitan TV3 pada 1992 menyifatkan penyertaannya menerusi program itu seperti sirih pulang ke gagang.

"Tempat jatuh lagi dikenang apatah lagi ini tempat saya bermula. Di TV3, bakat saya dicungkil sebagai pelakon dan pengacara. Malah karier seni saya bermula menerusi program Asia Bagus pada 1992. Di situ bermulanya saya sebagai Ifa Raziah. Saya juga pernah mengacarakan program Wanita Hari Ini.

"Malah ramai juga yang tak tahu atau mungkin lupa bahawa lagu saya pernah memasuki Separuh Akhir Muzik-Muzik, tapi tidak sampai ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Disebabkan kriteria itu saya dijemput menyertai pertandingan Terpaling Juara ini dan sebab itu juga saya terima kerana ini adalah tempat permulaan saya walaupun pada awalnya saya ingat saya menjadi pengacara," katanya.

Dalam masa sama, Ifa mengakui teruja untuk menjayakan program itu biarpun dia perlu menjadi peserta di bawah bimbingan penyanyi lebih muda.

Terpaling Juara mula bersiaran pada Ahad ini bakal menyaksikan penyanyi legenda berentap dengan bintang baharu di bawah bimbingan tiga pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel.

Selain Ifa, dua lagi penyanyi legenda terbabit ialah Hazami dan Rahmad Mega serta tiga peserta yang dipilih daripada proses uji bakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 6:20 AM