Michelle Gun


Kuala Lumpur: Penyanyi Ifa Raziah mengakui menerima tawaran sebagai pengulas program realiti dangdut Indonesia, D'Academy Asia 2016, yang akan ditayangkan 23 Oktober ini.

Pemilik lagu hit Ser Ser Ser itu berkata, program realiti 100 episod terbitan Indosiar itu memerlukan dia berada di Jakarta, Indonesia, sehingga Januari tahun depan.

"Kalau tawaran itu menjadi, saya akan ke Indonesia bulan depan dan tinggal di sana kerana rakaman berlangsung setiap hari.

"Pada masa sama, saya juga perlu kembali ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu untuk mengendalikan program Jom Singgah," katanya selepas pelancaran single ‘Terus Terang’ di sini, hari ini.

Menurutnya, dia menerima tawaran itu ketika penerbit D'Academy Asia, Pak Ekin Gabriel menghadiri majlis rumah terbuka Persatuan Bintang Dangdut Malaysia (BINTANG) di ibu kota bulan lalu.

"Saya berbesar hati berpeluang mewakili artis Malaysia dan sudah bersedia menggalas tugas sebagai pengulas," katanya.

Ifa yang juga Presiden BINTANG berkata, tawaran itu juga dengan sokongan kuat komposer terkenal Pak Ngah serta penyanyi dangdut terkenal Singapura, Rosalina Musa.

"Mereka mencadangkan nama saya kepada Indosiar dan saya berterima kasih kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 11:05 PM