Ramlah Zainal


Siri kartun popular Upin & Ipin bukan saja mencetuskan fenomena dan terus diminati hingga ke hari ini, malah menjadi penanda aras pembikinan filem animasi tempatan.

Kejayaan siri animasi hebat itu menarik minat KRU Studios untuk bekerjasama dengan Les’ Copaque Production menerbitkan filem cereka berjudul Upin Ipin Jeng Jeng Jeng pada tahun ini.

Presiden Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim berkata, setakat ini proses pembikinan filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng berjalan lancar dan siap 20 peratus.

“Penggambaran filem ini baru saja bermula dan pihak kami terbabit dalam menyiapkan kesan khas visual. Ia bukan filem animasi seperti yang dihasilkan sebelum ini, tetapi diangkat dalam bentuk realiti ke layar perak dengan menampilkan karakter manusia.

“Pihak kami tidak boleh komen lebih- lebih sebab ia produk Les’ Copaque. Jika semuanya berjalan seperti direncanakan, ia dijangka siap tahun ini,” katanya.

Sambung Norman, hasil perbincangan dengan penerbit Les’ Copaque, filem itu mendapat sentuhan pengarah berkaliber Erma Fatima.

“Kami memilih Erma kerana dia pengarah yang kreatif dan menepati kriteria yang dikehendaki. Adik saya, Yusry pula terbabit dalam proses perbincangan filem ini.

Bintang cilik, Putri Balqis dipilih selaku teraju utama bergandingan dengan Awie Wings serta Siti Saleha,” katanya.

Norman ditemui selepas menjayakan program The Story Episode 3 yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, baru-baru ini. Program anjuran Gagasan Bersatu Malaysia (GBM) itu turut menampilkan Lembaga Pengarah, Konsortium Transnasional Berhad, Tan Sri Nadzmi Salleh dan pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi.

Kos yang tinggi

Penerbit filem Vikingdom ini mengakui kos pembikinan filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng sangat tinggi.

“Saya tidak dapat memberitahu secara terperinci mengenai kos menerbitkan filem ini. Apa yang saya boleh katakan, filem realiti atau ‘ live action’ seperti ini membabitkan kos yang lebih tinggi berbanding siri animasi,” katanya.

Norman berkata, banyak ilmu ditimba sepanjang bekerjasama dengan Les’ Copaque menerbitkan filem itu.

“Sebagaimana kita sedia maklum, siri Upin Ipin adalah jenama kanak-kanak terlaris di Asia Tenggara. Siri animasi popular ini bukan saja ditayangkan di Malaysia bahkan turut dipasarkan ke Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya.

Berkongsi perkembangan lain, KRU Studios dalam proses menerbitkan satu lagi projek filem animasi berjudul KL Taxi yang memaparkan mengenai teksi di Kuala Lumpur serta dijangka siap pada 2017.

Selain itu, KRU Studios turut menghasilkan siri animasi kanak-kanak berjudul ‘Ribbit’ untuk tayangan televisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 10:59 AM