PENGUNJUNG bergambar bersama maskot Upin & Ipin di pekarangan GSC Midvalley, semalam.
PENGUNJUNG bergambar bersama maskot Upin & Ipin di pekarangan GSC Midvalley, semalam.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: Cuti sekolah yang bermula minggu lalu dimanfaatkan ibu bapa dengan aktiviti riadah dan ada yang memilih serta mengambil kesempatan membawa anak masing-masing menonton filem animasi Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng!.

Tinjauan Harian Metro di GSC Midvalley mendapati ada ibu bapa yang sanggup beratur panjang dan mengaku ambil cuti tahunan untuk membawa anak menonton filem itu.

Jualan tiket yang dipaparkan pada skrin pawagam itu juga menunjukkan jualan bergerak pantas menerusi 10 sesi tayangan bermula seawal jam 11 pagi hingga 12.30 tengah malam.

Eksekutif akaun, Siti Zaleha Zainal, 36, berkata, dia sanggup mengambil cuti tahunan selama seminggu untuk menemani dua anaknya berusia tujuh dan 11 tahun.

“Sebelum cuti sekolah, anak ada menonton iklan filem itu dan mereka memaklumkan mahu menonton kerana meminati dua karakter kartun itu.

“Bagi menggembirakan hati mereka, saya ambil cuti dan memilih hari biasa untuk membawa mereka ke pawagam kerana takut akan penuh apabila hujung minggu.

“Animasi Upin dan Ipin kaya dengan pendidikan serta unsur Islam, seperti menghormati sesama kawan yang berbeza kaum dan agama antara yang menarik minat orang untuk menontonnya,” katanya.

Sementara itu, jurutera, Abdul Zaidan Zain, 30, berkata, dia sanggup datang dari Bangi kerana pawagam terdekat sudah penuh.

“Saya sebenarnya cuba untuk menempah tiket secara atas talian tetapi semuanya penuh. Nasib hari ini saya cuti dan tidak lepaskan peluang untuk membawa tiga anak saudara menonton filem dua watak animasi popular itu.

“Saya mengikuti cerita Upin Ipin sejak diperkenalkan menerusi siri animasi pada 2007. Apabila difilemkan, saya yakin keletah lucu Upin dan Ipin akan mencuit hati kanak-kanak termasuk orang dewasa dengan pengajaran yang ditonjolkan,” katanya.

Setakat ini, filem yang ditayangkan sejak 24 November lalu berjaya meraih kutipan RM3 juta dan diterbitkan oleh Les’ Copaque Production Sdn Bhd dengan kerjasama KRU Studios serta diedarkan Primeworks Distribution.

Filem Upin & Ipin Jeng Jeng Jeng! arahan Erma Fatima itu dibintangi Puteri Balkis, Asyiela Putri (pelakon suara Upin Ipin), Awie, Sara Ali, Remy Ishak dan Gambit Saifullah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 9:43 AM