MURID teruja bertemu Upin dan Ipin.
MURID teruja bertemu Upin dan Ipin.
MURID teruja bertemu Upin dan Ipin.
MURID teruja bertemu Upin dan Ipin.
Ridzuan Abdul Rahman


Biarpun bersaing hebat dengan beberapa jenama animasi lain termasuk dari Barat, karakter pasangan kembar berkepala botak Upin dan Ipin tetap bertakhta di hati kanak-kanak.

Justeru, tidak hairan ramai teruja apabila dikunjungi karakter ini dalam program ‘School Hopping’ Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! di sekolah seluruh negara.

Program anjuran Les’ Copaque Production ini diadakan bagi mempromosikan filem edaran Primeworks Distribution itu yang akan menemui penonton bermula 24 November depan.

Berpeluang mengikuti promosi di Sekolah Kebangsaan Jalan Ayer Panas, Setapak minggu lalu, rata-rata murid cukup ceria menerima kunjungan Upin dan Ipin.

Meskipun hanya maskot, murid tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan dengan karakter pasangan kembar itu yang turut diminati di Indonesia.

Cuaca panas terik juga tidak menghalang mereka berkumpul beramai-ramai melihat maskot itu dari dekat.

Kerjasama baik yang diberikan guru besar dan barisan tenaga pengajar bertugas juga membuatkan majlis berjalan lancar sekali gus meninggalkan kenangan indah buat semua murid terbabit.

Ketua Media Baru dan Unit Perhubungan Awam Les’ Copaque Production Mohd Zarin Abdul Karim berkata, program itu dibuat serentak di seluruh negara dan menerima maklum balas menggalakkan daripada kanak-kanak.

“Kumpulan kami dipecahkan kepada wakil Kuala Lumpur, utara dan selatan. Kami akan bergerak ke 20 sekolah kecuali Sabah dan Sarawak untuk misi ini.

“Sasaran kami ialah sekolah di kawasan bandar dan mempunyai pawagam kerana apabila filem ini ditayangkan kelak, murid ini akan dapat menonton bersama ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, Les’ Copaque sudah lama tidak mengadakan program di sekolah dan ternyata kemunculan Upin dan Ipin dinanti ramai.

“Tujuan kami untuk mengingatkan kanak-kanak ini tarikh tayangan filem Upin & Ipin. Selain itu, apabila mendengar sahaja perkataan Jeng, Jeng, Jeng! automatik mereka akan ingat filem ini.

“Kunjungan kami ke sekolah ini juga turut membawa bersama cenderahati Upin & Ipin untuk diagihkan kepada murid,” katanya.

Mohd Zarin turut mengakui populariti Upin dan Ipin meledak apabila dipilih mewakili Malaysia dalam klip video Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Klip video berlatarkan lagu Imagine nyanyian John Lennon itu menampilkan beberapa selebriti popular antaranya Katy Perry, Shakira, William Adams (Will I Am) dan David Guetta. Upin dan Ipin dilantik sebagai duta UNICEF Malaysia sejak 2013.

Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! adalah karya animasi Malaysia pertama yang menggabungkan teknik animasi 3D dan lakonan hidup.

Ia diterbitkan secara usaha sama di antara Les’ Copaque Production dan KRU Studios, menggabungkan kepakaran animasi serta kesan khas dua studio terkenal itu.

Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! menampilkan Asyiela Putri, pemilik suara asal watak utama Upin & Ipin; Pelakon Wanita Terbaik Asia Puteri Balqis, penyanyi rock terkenal Awie, Sara Ali, Gambit dan Remy Ishak sebagai barisan pelakon.

Filem yang menelan kos RM4 juta ini mendapat pembiayaan FINAS di bawah Dana Kesan Khas (CGI) serta sokongan penuh Pengarah Kandungan Kreatif dan Teknologi (MDEC).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 11:50 AM