IZHAM (berdiri dua dari kiri), Burhanuddin (berdiri empat dari kiri), Aliff (berdiri tiga dari kanan) dan Norman (berdiri dua dari kanan) ketika pelancaran muzik video Jeng, Jeng, Jeng!.
IZHAM (berdiri dua dari kiri), Burhanuddin (berdiri empat dari kiri), Aliff (berdiri tiga dari kanan) dan Norman (berdiri dua dari kanan) ketika pelancaran muzik video Jeng, Jeng, Jeng!.
Ridzuan Abdul Rahman


Pelbagai strategi promosi perlu dirangka bagi menarik perhatian peminat menonton filem yang bakal ditayangkan di pawagam.

Justeru, penerbit Les’ Copaque Production dengan kerjasama KRU Studios mengambil langkah bijak apabila menghasilkan video muzik lagu Jeng, Jeng, Jeng! nyanyian Yubi Band bersama Asyiela Putri yang meminjamkan suaranya untuk watak Upin dan Ipin .

Lagu ini bakal menghiasi filem Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! edaran Primeworks Distribution yang akan menggegarkan pawagam seluruh tanah air bermula 24 November ini.

Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, lagu Jeng, Jeng, Jeng! berkonsepkan pop santai dan liriknya ringkas.

“Lagu ini ciptaan tenaga kerja Les’ Copaque sepenuhnya dan KRU Music pula menyusun semula melodinya.

“Gerak tari dalam video muzik lagu ini dicipta khas dan diharap menjadi ikutan peminat.

“Peminat sudah boleh menonton video muzik ini menerusi YouTube Channel Les’ Copaque Production sejak Selasa lalu,” katanya.

Pelancaran video muzik ini dibuat di sebuah pusat beli-belah terkenal di Subang Jaya, Selangor pada Selasa lalu dan turut dihadiri Presiden Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studio, Ahmad Izham Omar.

Menariknya, Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! adalah karya animasi Malaysia pertama yang menggabungkan teknik animasi 3D dan lakonan hidup.

Ia diterbitkan secara usahasama di antara Les’ Copaque Production dan KRU Studios, menggabungkan kepakaran animasi dan kesan khas dua studio terkenal itu.

“Penonton sasaran filem ini sudah tentu kanak-kanak namun kami yakin semua peringkat umur akan menyukainya.

“Saya tidak meletakkan sasaran kutipan tetapi kalau boleh biarlah mengatasi filem Munafik.

“Kami kini sedang berusaha untuk tayangkan filem ini di Indonesia tapi ia bukanlah perkara mudah kerana banyak sekatan yang perlu dilalui.

“Sekiranya jadi kenyataan, kami berhasrat menayangkannya di sana pada Disember ini. Di Indonesia tiada cuti sekolah. Harapnya filem ini jadi karya besar dan dikenang,” kata Burhanuddin lagi.

Penggambaran filem ini dilakukan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur manakala pembikinan animasi dihasilkan sendiri Les’ Copaque.

Upin & Ipin Jeng, Jeng, Jeng! menampilkan Asyiela Putri, pemilik suara asal watak utama Upin & Ipin, Pelakon Wanita Terbaik Asia, Puteri Balqis, penyanyi rock terkenal Awie serta Sara Ali, Gambit dan Remy Ishak sebagai barisan pelakon.

Filem yang menelan kos RM4 juta ini mendapat pembiayaan FINAS di bawah Dana Kesan Khas (CGI) serta sokongan penuh Pengarah Kandungan Kreatif dan Teknologi (MDEC).

Sementara itu, Ahmad Izham berkata, Primeworks Distribution percaya filem ini mampu mencatat kutipan membanggakan seperti filem pecah panggung lain.

“Filem ini dibintangi pelakon terkenal tanah air dan sudah semestinya Primeworks akan buat yang terbaik dan berikan sokongan padu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 11:33 AM