IONIQ model masa depan Hyundai Motor.
IONIQ model masa depan Hyundai Motor.

Hyundai Motor mengorak langkah dalam industri automotif apabila bakal melahirkan generasi baharu kenderaan hibrid menerusi model Ioniq.

Pengeluar automotif dari Korea Selatan itu berani mendedahkan rahsia mereka untuk membangunkan model Ioniq sebagai pemikiran Hyundai Motor yang baharu serta berani untuk masa depan.

Secara teknikal, Ioniq model pertama di dunia apabila kerangkanya dicipta khas untuk menyesuaikan tiga rangkaian kuasa berbeza membabitkan elektrik, plug-in hibrid dan enjin hibrid.

Ia menggunakan kerangka Keluli Kekuatan Tinggi Termaju sehingga 53 peratus yang turut digabungkan dengan aluminium ringan untuk mengurangkan berat sehingga 12.6 kilogram.

Pada masa sama, Keluli Kekuatan Tinggi Termaju mampu menahan daya perlanggaran pada kerangka ketika berlaku kemalangan.

Model itu turut memberi ciri baharu dalam pemanduan dinamik serta pengendalian untuk melengkapkan lagi wataknya selepas menempatkan bateri rendah dan ke hadapan bagi mencapai pusat graviti terendah bagi mengekalkan kestabilan.

Bagaimanapun, sebagai permulaan, versi pertama yang akan hadir ke pasaran adalah model hibrid yang menggunakan enjin baru 1.6 liter Kappa GDI dan motor elektrik untuk menyalurkan kuasa masing-masing iaitu 105PS serta 43.5PS.

Kuasa itu diagihkan kepada Transmisi Klac Berkembar untuk memberi kecekapan penghantaran sehingga 95.7 peratus bagi pecutan, pertukaran gear sekali gus memberi pengalaman pemanduan dinamik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:01 AM