KENDERAAN konsep Enduro.
KENDERAAN konsep Enduro.
Oleh Erywan Norshal


Hyundai Motor Company (HMC) mempertontonkan model konsep terbaru yang dikenali sebagai kenderaan utiliti gaya hidup crossover bandar (CUV) menerusi Enduro sempena Pameran Motor Seoul Ke-11, minggu lalu.

Nama Enduro berasal dari ‘Endurance’ yang turut menggabungkan watak kenderaan utiliti sukan (SUV), direka bagi keperluan individu kawasan bandar dengan menerapkan ciri moden serta penampilan berani.

Enduro berfungsi sebagai jentera dikhaskan bagi pemandu yang mahukan kelainan dengan reka bentuk berani dan boleh dilihat menerusi jeriji depan heksagon serta pusat graviti lebih rendah untuk kestabilan.

Malah, padanan bilah aluminium menghubungkan dapra depan antara jeriji memberi imej lebih yakin dan agresif.

Secara asasnya, Enduro kelihatan seperti kenderaan segmen crossover dengan struktur lebih tinggi dan dihiasi warna kelabu gelap, membuatkan ia kelihatan lebih mantap.

Bahagian tiang-C pula dilengkapi bilah udara yang unik dan aerodinamik untuk mengurangkan seretan udara manakala ruang dalamannya pula digayakan dengan konsep emosi yang dinamik serta futuristik.

Pada konsol papan pemuka, ia menampilkan unsur mendatar dan menegak yang tampak sporty, agresif dan tahan lasak. Meter kelajuan iaitu kluster instrumen menyampaikan pelbagai maklumat dalam paparan bersepadu yang mengurangkan gangguan kepada pemandu.

Pada masa sama, Hyundai Sonata PHEV iaitu kenderaan elektrik hibrid ‘plug-in’ pertama diperkenalkan pada pemeran berkenaan.

Hyundai Sonata PHEV menggunakan transmisi automatik enam kelajuan dengan Transmisi ‘Moun­ted’ Peranti Elektrik Hyundai (TMED) yang dijanakan motor elektrik 50 kW.

Ia menggunakan enjin 2.0 liter Nu GDI petrol yang menghasilkan kuasa maksimum sehingga 205 PS pada 6,000 rpm.

Selain itu, HMC melancarkan model terbaru SUV Tucson terbaru dengan rekaan lebih anggun dan tangkas.

Perubahan paling ketara boleh dilihat pada jeriji depan heksagon yang menghubungkan lampu LED untuk menyerlahkan identiti tersendiri. Jentera berkenaan dibina menggunakan platform terbaru untuk memberi ruang kabin lebih besar dengan menyediakan kapasiti sehingga 513 liter bagi bagasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:05 AM